Wednesday 13 March 2013

LAPORAN AKTIVITI

LAPORAN PROGRAM GILAPAN PERMATA
DAN AKUJANJI MURID TAHUN 6 
SESI 2013

Tarikh   : 31 Januari 2013 (Khamis)
Masa      : 8.00 pagi – 12.30 tengahari
Tempat  : Dewan tertutup, SK Gopeng, Taman Gopeng Baru

Keluarga Asas Kemajuan Negara. Ungkapan ini sering dijadikan landasan dan dasar kerajaan ke arah pembentukan sebuah masyarakat yang membangun ke arah negara maju menjelang Wawasan 2020. Sehubungan itu, Unit Bimbingan dan Kaunseling SK Gopeng, Taman Gopeng Baru merasakan bahawa adalah penting bagi menyedarkan golongan ibu bapa agar memainkan peranan penting dalam membantu serta bekerjasama dengan pihak sekolah bagi melahirkan dan membentuk generasi pewaris kepimpinan negara yang mempunyai jati diri serta disiplin tinggi.
 
 Oleh itu, seperti ketetapan di atas, Unit  Bimbingan dan Kaunseling telah mengadakan program bersama ibu bapa bagi  mempersiapkan diri dari aspek keilmuan dalam menjalankan tanggungjawabnya sebagai pendidik dan pembimbing kepada anak-anak sebagai pembina sahsiah yang terpuji. Diharap Program Keibubapaan ini dapat mendorong para ibu bapa agar menjadikan keluarga sebagai sebuah institusi terpenting ke arah keutuhan masyarakat dan negara. Sehubungan itu, anak perlu sentiasa dibekalkan dengan motivasi dalam membentuk sahsiah diri yang sempurna di samping jati diri yang kuat supaya jiwa mereka tidak rapuh.
 
Program ini telah dimulakan dengan urusan pendaftaran ibu bapa / penjaga pada pukul 8.00 pagi di Dewan Tertutup yang dikendalikan oleh Puan Erni Johan dan Cik Dewi Hartini Razali. Diikuti ketibaan tetamu jemputan iaitu Encik Nor Azua bin Mohd Daud, Kaunselor PPDKS jam 8.30 pagi seterusnya menandatangani buku pelawat sekolah. Program ini dimulakan dengan bacaan doa dari Ustaz Khatib bin Mohamed. Juruacara majlis iaitu Encik Ahmad Juahir bin Naim memberikan ucapan alu-aluan kepada para hadirin seterusnya Puan Guru Besar iaitu Puan Hajah Shariffah Hafidzah binti Meor Hassan pula mengambil tempat untuk menyampaikan sepatah dua kata sebagai ucapan beliau yang sedikit sebanyak menerangkan tujuan program yang diadakan dan menghargai kesudian ibu bapa/penjaga hadir meluangkan masa mengikuti perkembangan anak masing-masing.
 
Pada jam 9.00 pagi, tibalah masa yang dinanti iaitu Program Keibubapaan yang disampaikan oleh Encik Nor Azua bin Mohd Daud selaku Kaunselor PPDKS yang memberi ceramah tentang ilmu keibubapaan dalam memastikan kecemerlangan akademik anak-anak dapat direalisasikan. Beliau banyak menyentuh berkaitan peranan ibu bapa dalam membentuk akhlak serta disiplin diri anak-anak serta bagaimana menangani permasalahan yang timbul di kalangan anak-anak yang berbeza perwatakan.

Selain itu, beliau juga berkongsi ilmu bagaimana selaku ibu bapa kita melihat potensi yang tersembunyi yang  ada dalam diri anak-anak dan tidak disedari oleh ibu bapa itu sendiri.Bahkan cara-cara yang betul dan sesuai dapat mencungkil  potensi diri anak-anak berkembang dengan sentiasa memberikan dorongan serta sokongan tanpa jemu.Ibu bapa disarankan agar berkomunikasi dengan betul agar dapat membantu anak-anak  berkongsi permasalahan yang mereka hadapi serta tidak memendam di hati .Sebaliknya jika ibu bapa gagal menangani anak-anak dengan cara yang betul maka potensi anak-anak terpendam begitu sahaja dan gagal mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik.
 
Sesi ceramah keibubapaan ini  diakhiri dengan beberapa panduan/tips untuk merangsang murid-murid agar menjadikan 5A sebagai sasaran dan matlamat mereka dengan menjadikan kata-kata rangsangan sebagai dorongan seharian mereka. Seterusnya, sebelum program dihentikan seketika untuk berehat, majlis penyampaian cenderahati dijalankan dan telah disampaikan oleh Puan Guru Besar kepada penceramah jemputan iaitu Encik Nor Azua bin Mohd Daud.
 
Seterusnya jam 10.30 pagi, para ibu bapa dan murid-murid dilepaskan untuk menikmati kudapan yang telah disediakan.Seterusnya, program disambung semula jam 11.00 pagi iaitu diikuti dengan pembentangan analisis keputusan peperiksaan murid-murid Tahun 6 untuk makluman ibu bapa serta penjaga.Pembentangan ini disampaikan oleh Puan Hajah Rohana binti Zakaria di hadapan para ibu bapa/penjaga dengan harapan mereka turut mengikuti serta mengetahui sejauh mana perkembangan pembelajaran anak-anak serta berkongsi maklumat berkaitan program-program dan aktiviti yang telah dan akan dijalankan oleh pihak sekolah bagi memastikan kejayaan setiap murid Tahun 6.
 
Selesai pembentangan analisis keputusan sesi soal jawab diadakan dan terdapat persoalan berkaitan latihan /kerja sekolah yang diberikan oleh guru-guru telah dilontarkan oleh ibu bapa/penjaga dalam sesi ini. Persoalan ini dijawab oleg guru-guru Tahun 6 mengikut matapelajaran masing-masing iaitu Puan Hjh Rohana Zakaria ( Matematik), Puan Nizam Baharuddin ( B.Melayu), Puan Erni Johan ( Sains) dan Cik Dewi Hartini Razali ( B.Inggeris).
 
Seterusnya jam, 11.30 pagi diadakan sesi bacaan ikrar murid-murid yang dilakukan dihadapan ibu bapa/penjaga masing-masing dengan harapan mereka dapat mengotakan segala janji yang telah dilafazkan dengan penuh semangat untuk berjaya dalam pencapaian akademik masing-masing. Bacaan ikrar ini telah dipimpin oleh adik Zulitqan Nabhan bin Ahmad diikuti oelh semua murid Tahun 6 Dinamik, 6 Bestari dan 6 Gemilang.
 
Program diteruskan dengan sesi menandatangani akujanji mengikut kelas masing-masing iaitu menandatangani seterusnya  menetapkan sasaran UPSR murid-murid di hadapan guru dan ibu bapa.Sesi ini dijalankan serentak ketiga-tiga kelas yang dikendalikan oleh guru-guru kelas iaitu Puan Nizam Baharuddin kelas 6 Dinamik, Puan Farah Juliana Zahari Tahun 6 Bestari dan Puan Erni Johan kelas 6 Gemilang. Program Gilapan Permata dan Akujanji  ini tamat jam 12.30 tengahari.
 
Laporan disediakan oleh,
 
(NOR FAZILA BINTI YAHYUDDIN)
Guru Bimbingan dan Kaunseling,
SK Gopeng, Taman Gopeng Baru

SEBAHAGIAN IBU BAPA YANG HADIR
 
 SESI INTERAKSI IBU DAPA DENGAN GURU KELAS
(PENYERAHAN SLIP UJIAN)
 
IKRAR MURID DI HADAPAN IBU BAPA MASING-MASING
 
PENYAMPAIAN CENDERAHATI KEPADA PENCERAMAH JEMPUTAN,
EN.NOR AZUA BIN MOHD DAUD
 
 

No comments:

Post a Comment