Wednesday 13 March 2013

LAPORAN AKTIVITI

LAPORAN KURSUS KEPIMPINAN 2013

Tarikh             : 31 Januari 2013
Hari                : Sabtu
Masa               : 8.00 – 2.00 petang
Tempat           : Dewan Tertutup, SK Gopeng, TGB
Sasaran           : 102 orang ( Pengawas Sekolah, Pengawas Pusat Sumber, Ketua Kelas    
                        dan Penolong Ketua Kelas)

Unit Bimbingan dan Kaunseling SK Gopeng, Taman Gopeng Baru telah menganjurkan Kursus Kepimpinan 2013  dengan kerjasama  Pusat Sumber Sekolah, Unit Disiplin dan Pengawas seperti ketentuan di atas. Program telah disertai seramai 102 orang golongan pemimpin cilik sekolah dan dikendalikan seramai enam orang guru.

Kursus sehari ini telah dimulakan dengan sesi pendaftaran para peserta kursus seawal jam 7.30 pagi yang dikendalikan oleh Cik Roslina binti Hassan Basri.Selesai urusan pendaftaran kursus dimulakan dengan kata-kata aluan pengacara majlis diikuti dengan ucapan perasmian daripada Puan Guru Besar iaitu Puan Hjh Shariffah Hafidzah binti Meor Hassan yang mengucapkan tahniah atas kehadiran para peserta yang sanggup mengorbankan cuti hujung minggu dan tahniah juga kerana telah berjaya terpilih sebagai pemimpin-pemimpin yang diharapkan dapat membantu para guru di sekolah ini. Selesai ucapan perasmian , sesi taklimat berkaitan perjalanan kursus serta langkah keselamatan telah disampaikan oleh Encik Shah Rizal bin Zainuddin selaku Guru Pengawas 2013 dengan memberikan  taklimat ringkas kepada para peserta kursus.

Seterusnya, jam 9.00 pagi sesi diteruskan dengan slot yang pertama iaitu taklimat mengenai “Peranan dan Tanggungjawab Pemimpin” yang telah disampaikan oleh kaunselor sekolah iaitu Puan Nor Fazila binti Yahyuddin. Dalam slot ini, para peserta telah didedahkan tentang  gaya kepimpinan serta peranan seorang pemimpin. Dalam slot beliau, banyak ilmu berkaitan kepimpinan dikongsikan bersama sebagai panduan dan bimbingan kepada para pengawas serta ketua dan penolong dalam menjalankan tugas sebagai idola dan pemimpin di kalangan murid-murid. Slot beliau tamat pada pukul 10.00 pagi.

            Pada jam 10.00 pagi, para peserta telah dilepaskan untuk menikmati sarapan pagi di kantin sekolah dan makan secara berjemaah sebelum diteruskan dengan slot 2 pada jam 10.30 pagi yang telah disampaikan oleh Encik Shah Rizal iaitu Guru Pengawas tentang tajuk “ Perwatakan dan Sahsiah Pemimpin” sebagai panduan kepada murid-murid sebagai seorang pemimpin harapan guru-guru.Sesi 2 ini berjaya ditamatkan jam 11.30 pagi.

            Seterusnya, pada pukul 11.30 pagi, murid-murid mengikuti slot 3 yang telah disampaikan oleh Ustaz Khatib iaitu Guru Pembangunan Kemanusiaan yang bertajuk “Cara-cara menulis kesalahan”. Beliau telah memberi tunjuk ajar dan cara yang betul bagaimana menulis kesalahan yang telah dilakukan oleh murid-murid dalam buku catatan pengawas. Cara catatan yang betul dapat memudahkan Guru Pembangunan Kemanusiaan merekodkan kesalahan murid dan mencari data berkaitan murid berkenaan. Selain itu, Pengawas-pengawas juga harus jelas tentang jenis-jenis kesalahan yang terdapat dalam senarai kesalahan dan disiplin sekolah.

Jam 12.30 tengahari murid-murid dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu kumpulan Pengawas Sekolah dan Ketua/Penolong ketua  yang dikendalikan oleh Encik Shah Rizal di Dewan Tertutup dan kumpulan Pengawas Pusat Sumber yang dikendalikan oleh Puan Salasiah di Pusat Sumber. Encik Shah Rizal telah mengadakan sesi perdebatan di antara dua kumpulan pengawas iaitu kumpulan pencadang yang terdiri daripada Adik Muhammad Aizad Husni bin Hazlan, Adik  Irwan Fahmy bin Rizal dan Adik Nur Irdina binti Zairul Hisham.

Sementara kumpulan pembangkang pula terdiri daripada Adik Zulitqan Nabhan bin Ahmad, Adik Aien Quzaima binti Azmi dan Adik Ain Najwa binti Jamal bagi melatih mereka keyakinan untuk melahirkan pendapat di khalayak serta memupuk semangat bekerjasama sesama ahli kumpulan. Sementara itu, Puan Salasiah telah melatih Pengawas-pengawas Pusat Sumber tentang bagaimana cara mengendalikan atau pengurusan buku-buku di pusat sumber.

            Selesai sesi kedua-dua kumpulan dijalankan, mereka dikumpulkan semula di Dewan Tertutup untuk mengikuti acara penutup Kursus Kepimpinan ini.Majlis penutupan ini telah disempurnakan oleh Puan Hajah Shariffah Hafidzah binti Meor Hassan selaku Guru Besar sekolah. Sebelum itu Encik Shah Rizal telah memberi ucapan  mewakili ahli jawatankuasa kursus diikuti dengan ucapan Puan Guru Besar yang banyak mengingatkan murid-murid tentang tanggungjawab yang telah diamanahkan kepada pengawas termasuk Ketua kelas dan penolongnya. Kursus Kepimpinan telah ditamatkan jam 1.45 petang untuk bersurai.

Laporan disediakan oleh,

(NOR FAZILA BINTI YAHYUDDIN)
Guru Bimbingan,
SK Gopeng, Taman Gopeng Baru.                                                         

GURU BESAR MENYAMPAIKAN UCAPAN PERASMIAN
 

 PESERTA KURSUS KEPIMPINAN
 
 UST SHAHRIZAL MENYAMPAIKAN TAKLIMAT KURSUS

No comments:

Post a Comment