Wednesday 1 February 2012

MAULIDUR RASUL 1433H/2012M


12 Rabiulawal 1433H bersamaan 5 Februari 2012 bakal menjelang tiba.. Alhamdulillah, kita bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu wa Ta'ala kerana dengan limpah kurnia-Nya dapat kita meraikan sambutan Maulidur Rasul pada tahun ini. Selawat dan salam kepada junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w., penghulu segala Rasul, pembawa rahmat seluruh alam.

Setiap tahun kita mengadakan majlis memperingati kelahiran Nabi Muhammad s.a.w. Ini adalah sebagai kenyataan akan kasih dan sanjungan kita terhadap Baginda serta perjuangan dan pengorbanan Baginda. Perjuangan Baginda tidak berhenti dengan wafatnya Baginda. Sebaliknya ia diteruskan oleh penganut agama Islam sehingga agama yang mulia ini dianuti oleh lebih satu bilion manusia di seluruh dunia sekarang ini. Dengan mengingati dan menyambut Maulidur Rasul, umat Islam sebenarnya memperbaharui azam untuk mengembangkan lagi agama yang diwahyukan oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala kepada Nabi Muhammad s.a.w.

Justeru, warga SK Gopeng Tmn. Gopeng Baru (SKGTGB) juga tidak ketinggalan untuk bersama-sama meraikan sambutan Maulidur Rasul pada tahun ini. Pelbagai program dan aktiviti telah dirancang sejak dari awal lagi. Antara aktiviti yang bakal dijalankan ialah Pertandingan Membuat Kain Rentang Maulidur Rasul, Pertandingan Mewarna, Ceramah Maulidur Rasul dan Perarakan Maulidur Rasul Bersama Warga SKGTGB. Adalah diharapkan aktiviti-aktiviti seperti ini dapat memeriahkan lagi sambutan Maulidur Rasul dan dapat menyemai rasa cintakan Rasul dalam kalangan warga SKGTGB.

Akhir kata daripada admin, marilah kita gunakan kesempatan untuk menyambut Maulidur Rasul ini dengan melipatgandakan usaha dan ikhtiar agar segala permasalahan dapat diselesaikan. Tanggungjawab kita bersama ialah untuk berdoa dan menghindarkan diri kita daripada sikap-sikap negatif seperti tamak haloba, rasuah, pecah amanah, hilang sabar dan sebagainya. Apa yang lebih penting adalah kita menggunakan peluang yang ada untuk terus mempertingkatkan daya kreativiti kita untuk memajukan agama, bangsa dan negara kita.

MAKLUMAN PENTING!
* Sekolah akan bercuti pada tarikh berikut :
  
(Isnin) 6 Februari 2012 - Cuti Sempena Sambutan Maulidur Rasul
(Selasa) 7 Februari 2012 - Cuti Thaipusam

No comments:

Post a Comment