Thursday 18 February 2016

LAPORAN PROGRAM

LAPORAN
PROGRAM SINERGI GEMERLAPAN  DAN AKUJANJI MURID TAHUN 6, 2016

Keluarga Asas Kemajuan Negara. Ungkapan ini sering dijadikan landasan dan dasar kerajaan ke arah pembentukan sebuah masyarakat yang membangun ke arah negara maju menjelang Wawasan 2020. Sehubungan itu, Unit Bimbingan dan Kaunseling SK Gopeng, Taman Gopeng Baru dengan kerjasama Jawatankuasa Program Peningkatan Tahun 6 merasakan bahawa adalah penting bagi menyedarkan golongan ibu bapa agar memainkan peranan penting dalam membantu serta bekerjasama dengan pihak sekolah bagi melahirkan dan membentuk generasi pewaris kepimpinan negara yang mempunyai jati diri serta disiplin tinggi.

 Oleh itu, seperti ketetapan di atas, Unit  Bimbingan dan Kaunseling telah mengadakan program bersama ibu bapa bagi  mempersiapkan diri dari aspek keilmuan dalam menjalankan tanggungjawabnya sebagai pendidik dan pembimbing kepada anak-anak sebagai pembina sahsiah yang terpuji.

Diharap Program Keibubapaan ini dapat mendorong para ibu bapa agar menjadikan keluarga sebagai sebuah institusi terpenting ke arah keutuhan masyarakat dan negara. Sehubungan itu, anak perlu sentiasa dibekalkan dengan motivasi dalam membentuk sahsiah diri yang sempurna di samping jati diri yang kuat supaya jiwa mereka tidak rapuh.

Program ini telah disertai oleh seramai 64 orang murid Tahun 6 yang terdiri daripada kelas Dinamik dan Bestari. Seterusnya, program dimulakan dengan urusan pendaftaran ibu bapa / penjaga pada pukul 8.00 pagi di Dewan Terbuka yang dikendalikan oleh Puan Nur Azlina Ayob dan Puan Rohidayu Zahari sementara Puan Roslina bt Hassan Basri selaku pengacara majlis. Program turut didibantu oleh Ahli Jawatankuasa Tahun 6  yang telah dilantik.

Semua ibu bapa ditempatkan di dalam dewan dan duduk bersebelahan dengan anak masing-masing. Tepat jam 8.30 pagi majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan daripada pengerusi majlis  dan diikuti bacaan doa oleh Ustaz Khatib Mohamed.

            Selesai bacaan doa daripada Ustaz Khatib, Puan Wan Patimah binti Wan Zakaria selaku  Guru Besar SK Gopeng, Taman Gopeng Baru pula dijemput bagi menyampaikan ucapan beliau yang banyak menyentuh tentang program yang telah dirancang bagi memantapkan lagi pencapaian murid serta isu-isu berkaitan murid Tahun 6 yang memerlukan pengertian, pemahaman serta kerjasama dari ibu bapa bagi melicinkan lagi program yang telah diaturkan seterusnya melakarkan kecemerlangan dalam UPSR 2016 kelak.
            Selain itu, kerjasama ibu bapa amat ditekankan bagi memastikan kecemerlangan murid digapai dengan mudah dengan terjalinnya ukhwah yang mantap dikalangan warga sekolah serta ibu bapa dan penjaga.

            Selesai ucapan Puan Guru Besar, Encik Mohd Kasim bin Sokiman selaku PK Pentadbiran mengambil tempat bagi membentangkan analisis Ujian Saringan Tahun 6 yang telah diadakan. Beliau juga menerangkan secara terperinci berkaitan pencapaian UPSR sekolah sebelum ini serta analisis terkini pencapaian murid-murid yang dipaparkan di skrin putih di hadapan dewan.

 Begitu juga dangan pembentangan pencapaian terkini murid-murid yang dikongsi bersama ibu bapa agar mereka sedar pencapaian anak masing-masing. Encik Mohd Kasim juga turut memberi penerangan berkaitan program-program dan aktiviti-aktiviti yang telah dirancang oleh pihak sekolah sepanjang tahun 2016 khusus buat murid-murid sasaran UPSR tahun 2016 ini.

            Setelah selesai pembentangan analisis ujian saringan, majlis diteruskan dengan bacaan ikrar aku janji oleh murid-murid yang diketuai adik Muhammad Hazwan dari kelas 6 Dinamik di hadapan ibu bapa / penjaga masing-masing. Selesai bacaan ikrar, murid dan ibu bapa dipanggil mengikut nama bertemu guru kelas masing-masing iaitu Puan Roslina Hassan Basri bagi kelas 6 Dinamik dan Puan Nur Hafizah Ali  bagi kelas 6 Bestari.

Pertemuan ini diatur bagi memberi peluang ibu bapa dan guru berbincang berkaitan pencapaian murid. Selain itu, murid juga diberi peluang untuk menetapkan sasaran UPSR masing-masing seterusnya membaca ikrar akujanji sebelum menandatanganinya di hadapan guru serta ibu bapa/penjaga.

Pelbagai nasihat dan panduan diberikan oleh guru-guru Tahun 6 secara individu bagi makluman ibu bapa/penjaga demi kebaikan anak masing-masing . Begitu juga dengan pihak ibu bapa yang turut berkongsi perasaan dan masalah di rumah bersama guru bagi mencari jalan penyelesaian terbaik untuk anak mereka. Acara manandatangani slip dan akujanji ini berjaya dilaksanakan sehingga jam 10.00 pagi.

Kesimpulannya, pertemuan ibu bapa dan guru dilihat meninggalkan impak positif bagi diri murid dan juga pihak sekolah. Dengan kerjasama erat yang terjalin dapat dilihat semangat murid untuk mencapai sasaran dan mengotakan janji yang telah dilafaz di hadapan ibu bapa masing-masing. Murid-murid juga rasa dihargai dan diberikan perhatian oleh ibu bapa dan guru-guru menerusi program seumpama ini. Bagi murid-murid yang mana ibu bapa tidak dapat hadir turut rasa dihargai apabila para guru yang ada tampil mewakili ibu bapa mereka semasa bacaan ikrar beramai-ramai. Diharap, program sebegini dapat diteruskan di tahun-tahun mendatang bagi memastikan hubungan baik ibu bapa dan pihak sekolah sentiasa terjalin erat.

Laporan disediakan oleh,                                          

NOR FAZILA BINTI YAHYUDDIN
Guru Bimbingan dan Kaunseling,
SK Gopeng, Taman Gopeng Baru.




No comments:

Post a Comment