Monday 22 July 2013

LAPORAN AKTIVITI

LAPORAN PROGRAM KHEMAH IBADAH DAN PROGRAM MOTIVASI TAHUN 6
ANJURAN  SK GOPENG, TAMAN GOPENG BARU DENGAN KERJASAMA PIBG DAN MATRIKULASI PERAK

Tarikh           : 05-06 Julai, 2013
Hari              : Jumaat - Sabtu
Tempat         : SK Gopeng, Taman Gopeng Baru
Sasaran         : 68 orang murid

Program Khemah Ibadah dan Program Motivasi Tahun 6 telah diadakan seperti ketentuan di atas dengan kerjasama Persatuan Ibu Bapa dan Guru ( PIBG) SK Gopeng, Taman Gopeng Baru dan Kolej Matrikulasi Perak. Program ini telah disertai oleh seramai 68 orang murid Tahun 6 dan juga seramai 38 orang pelajar matrikulasi Perak yang diketuai oleh Encik Azmi bin Kadir selaku pensyarah kolej merangkap Yang Di Pertua ( YDP ) PIBG sekolah ini. Penyertaan semua guru sekolah juga turut membantu melancarkan lagi perjalanan program ini. Program telah dimulakan jam 3.00 petang dengan sesi pendaftaran yang telah berlangsung di dewan terbuka sekolah dan dikendalikan oleh Ustaz Ahmad Juahir dan AJK Pendaftaran yang dilantik.
Selesai urusan pendaftaran dijalankan, semua peserta telah diarahkan mengemas barangan mereka di tempat penginapan yang telah ditetapkan iaitu peserta lelaki di kelas Tahun 1 Bestari dan 1 Gemilang sementara peserta perempuan di bilik J-Qaf dan surau tingkat 2.Lebih kurang jam 4.00 petang, pelajar-pelajar Kolej Matrikulasi Perak telah selamat tiba dengan bas diiringi oleh pensyarah Ko-Kurikulum merangkap YDP PIBG SK Gopeng Taman Gopeng Baru iaitu Encik Azmi bin Kadir.
 Jam 4.30 petang, para peserta dilepaskan untuk menikmati jamuan petang di kantin dan diselia oleh AJK Makanan yang telah dilantik.Seterusnya jam 4.30 petang para peserta bersiap untuk solat Asar berjemaah di Dewan Terbuka.Imam yang bertugas ialah Ustaz Ahmad Juahir bin Naim.
Jam 5.00 petang, para peserta diarahkan berkumpul di dewan terbuka Kesemua peserta seterusnya berkumpul di dewan terbuka untuk mendengar taklimat daripada Kem Komandan iaitu Ustaz Ahmad Juahir bin Naim yang telah dilantik dan Penolong Kem Komandan iaitu Puan Hajah Rohana binti Zakaria.Taklimat yang diberikan berkisar tentang peraturan dan disiplin sepanjang program berlangsung.Seterusnya para peserta dibahagikan kepada 13 kumpulan iaitu 7 kumpulan lelaki dan 6 kumpulan perempuan dibantu fasilitator pelajar-pelajar matrikulasi.
Pada pukul 6.00 sehingga 6.30 petang, para peserta dilepaskan untuk persiapan diri untuk solat Maghrib dan makan malam. Jam 6.30 petang, para peserta makan malam yang telah disediakan oleh kumpulan Puan Erni dan solat Magrib berjemaah di Dewan Terbuka jam 7.30 malam.Imam yang bertugas ialah Ustaz Khatib bin Mohamad.Ini diikuti dengan Bacaan Yassiin dan Tazkirah yang turut disampaikan oleh Ustaz Khatib. Sementara peserta-peserta bukan Islam telah dikendalikan oleh fasilitator Matrikulasi.
Seterusnya, jam 8.45 malam, mereka telah bersolat Isyak berjemaah dan imam yang bertugas ialah Ustaz Mohd Shah Rizal Zainuddin. Jam 9.00 malam para peserta diarahkan berkumpul di Dewan Terbuka untuk mendengar ceramah yang bertajuk “ Tanggungjawab Seorang Anak” yang telah disampaikan oleh Ustaz Fadhli Hj Abu Bakar dari SK Kampung Seri Rahmat.
Ceramah beliau banyak menyentuh tentang peranan seorang anak dalam kehidupan seharian juga berkaitan peranan mereka sebagai sorang pelajar yang sepatutnya mengejar kecemerlangan dunia dan akhirat. Sesi ceramah selesai jam 10.30 malam dan para peserta dilepaskan untuk minum malam dan tidur. Sementara guru-guru lelaki dan perempuan yang diketuai oleh Encik Zinal Ariffin dan Puan Nor Aisyah Ariffin telah ditetapkan untuk bermalam telah mengawasi dan memantau para peserta sebagai langkah keselamatan dan berjaga-jaga.
Jam 4.00 pagi, para peserta telah dikejutkan untuk mempersiapkan diri bagi meneruskan aktiviti Qiamullail yang telah dikendalikan oleh Ustaz Harith Hamzah yang diundang khas dari SK Pengkalan Baru. Aktiviti ini dijalankan di Dewan Tertutup sekolah sehinggalah solat subuh dan kuliah subuh.Selesai kuliah subuh, para peserta bersiap untuk menjalankan aktiviti riadah di padang sekolah yang telah dikendalikan sepenuhnya oleh fasilitator dari matrikulasi.
Jam 8.00 sehingga 8.30 pagi, para peserta bersarapan pagi yang telah disediakan oleh kumpulan guru-guru yang bertugas iaitu kumpulan Puan Norwati Yusof.Pukul 8.30 pagi sehingga 9.00 pagi para peserta mengurus diri dan berkumpul di Dewan Terbuka jam 9.00 pagi untuk mendengar ceramah keibubapaan yang telah disampaikan oleh Ustaz Mohd Shah bin Ramli iaitu Guru Besar SK Teluk Medan, Bagan Serai yang banyak memperkatakan tentang ilmu keibubapaan dan petua-petua mendidik anak yang dikongsikan bersama ibu, bapa dan penjaga yang hadir dan mendengar bersama-sama anak masing-masing. Ibu bapa dan penjaga disedarkan betapa pentingnya kerjasama antara mereka dan sekolah bagi memastikan kejayaan anak-anak. Tidak lupa juga mereka turut diingatkan kesilapan-kesilapan yang kerap dilakukan oleh ibu bapa dalam mendidik anak yang menyumbang kepada kegagalan anak-anak terutama dalam pelajaran.
Sesi ceramah beliau tamat jam 11.30 pagi dan para peserta, ibu bapa serta penjaga yang hadirkan telah dilepaskan untuk minum pagi di kantin yang telah disediakan oleh kumpulan Puan Farah Juliana dan kumpulan Puan Norwati.Pada pukul 12.00 tengahari sehingga pukul 1.00 petang, para peserta menjalani aktiviti refleksi solat bersama Ustaz Ahmad Juahir bin Naim di Dewan Terbuka bagi menilai semula tahap solat mereka.
Selesai  refleksi solat dijalankan mereka telah dilepaskan untuk makan tengahari yang telah disediakan oleh kumpulan Puan Salamiah Ahamad dan solat zohor berjemaah di Dewan Tertutup yang dikendalikan oleh Ustaz Fazli Nizam.Jam 2.00 petang pula sesi Latihan Dalam Kumpulan ( LDK ) telah dijalankan di Dewan Terbuka oleh kaunselor sekolah iaitu Puan Nor Fazila Yahyuddin yang telah dibantu oleh 13 orang fasilitator dari Matrikulasi bagi menjalankan aktiviti LDK.
Seterusnya,, diedarkan borang soal selidik berkaitan perjalanan program yang telah dijalankan dan membuat refleksi diri bagi meluahkan perasaan masing-masing sepanjang menjalani program ini. Peluang ini juga terbuka kepada pelajar-pelajar Matrikulasi Perak bagi membuat rumusan dan mengambil peluang untuk menasihatkan adik-adik yang bakal menduduki peperiksaan UPSR tidak lama lagi.
Sesi LDK ini tamat jam 3.30 petang dan disambung pula dengan sesi penyampaian hadiah, sijil dan penutupan program yang telah disempurnakan oleh Puan Hajah Shariffah Hafidzah binti Meor Hassan selaku Guru Besar sekolah. Program Motivasi Tahun 6 ini telah ditamatkan jam  4.30  petang dan para peserta dilepaskan untuk minum petang di kantin seterusnya bersurai.


Laporan disediakan oleh,

(NOR FAZILA BINTI YAHYUDDIN)
Guru Bimbingan,
SK Gopeng, Taman Gopeng Baru.

 Para peserta sedang mendengar taklimat

 Guru-guru memasak untuk peserta program

 Ceramah daripada Ust. Mohd Shah semasa Sesi Keibubapaan

 Wakil pelajar matrikulasi berkongsi pandangan

 Guru Besar turut sama memasak untuk para peserta

 Pelajar-pelajar matrikulasi membantu di dapur

 Pelajar matrikulasi sedang melayan peserta program

No comments:

Post a Comment