Monday 8 July 2013

LAPORAN AKTIVITI

LAPORAN KEJOHANAN OLAHRAGA TAHUNAN KALI KE-47
SK GOPENG, TAMAN GOPENG BARU 2013

Temasya Olahraga Tahunan (KOT) Kali Ke-47, SK Gopeng, Taman Gopeng Baru merupakan kejohanan olahraga tahunan yang dijalankan saban tahun. Pada tahun ini, Kejohanan Olahraga Tahunan kali ke-47 ini telah diadakan pada hari Sabtu, 29 Jun 2013 bertempat di Padang SK Gopeng, Taman Gopeng Baru. Tujuan Kejohanan Olahraga Tahunan ini dianjurkan adalah untuk menggilap kecemerlangan murid sekolah ini khususnya dalam sukan olahraga. Selain itu, melalui Kejohanan Olahraga Tahunan ini dapat memberi peluang kepada seluruh warga SK Gopeng, TGB dalam mengurus, melaksanakan, dan menilai kemampuan untuk menganjurkan kejohanan yang besar di peringkat sekolah. Melalui Kejohanan Olahraga Tahunan ini juga dapat menunjukkan kerjasama sepasukan yang amat tinggi untuk menjayakan kejohanan sukan pada tahun ini. Berkat kerjasama yang diberikan oleh para guru, murid, pentadbiran dan staf sokongan maka temasya olahraga ini dapat dilaksanakan dengan jayanya.

Aturcara Majlis Kejohanan Olahraga Tahunan pada tahun ini telah dimulakan dengan perbarisan masuk kontigen-kontigen yang mengambil bahagian iaitu terdiri dari kontigen rumah sukan Rumah Merah, Rumah Hijau, Rumah Kuning, Rumah Biru, Pasukan Pendidikan Khas dan Pra Sekolah. Bacaan doa telah dibacakan oleh Ustaz Khatib b. Mohamed bagi memberkati lagi temasya sukan pada tahun ini. Seterusnya, semua kontigen serta tetamu yang hadir telah menyanyikan lagu Negaraku. Setelah selesai upacara menyanyikan lagu Negaraku, temasya sukan didahului dengan ucapan Pn. Shariffah Hafidzah bt. Meor Hassan, Guru Besar SK Gopeng, TGB. Ucapan Perasmian Kejohanan Olahraga Tahunan telah disampaikan oleh Encik Mohd Helmi b. Jamaludin, PPT yang merupakan Penghulu Kanan Daerah Kampar. Pada majlis perasmian Kejohanan Olahraga Tahunan kali ke-47 tahun ini telah menyaksikan Larian Obor telah diketuai oleh Mohd Naim Najmi diikuti oleh Mohd Safri, Theenahgaran Kumar dan Harpreet Singh. Manakala bacaan ikrar Sukan telah diketuai oleh Mohd Syahmi Aiman serta semua ketua kontigen perbarisan turut sama ke pentas kehormat untuk membacakan ikrar. Setelah selesai acara perasmian, para kontigen perbarisan keluar kembali ke khemah rumah sukan masing-masing untuk persediaan acara pada hari kejohanan.

Acara Kejohanan Olahraga Tahunan pada tahun ini, dimulakan dengan acara 50 meter dan 100 meter murid-murid Pendidikan Khas, sukaneka murid Pra Sekolah dan acara 100 meter murid-murid Tahun 4, 5 dan 6. Acara sukan dihentikan seketika bagi menyaksikan Persembahan Silat dan Senamrobik murid-murid Tahun 1 dan Tahun 2 dipersembahkan kepada tetamu-tetamu yang hadir. Ini merupakan acara yang julung kalinya diadakan pada tahun ini.

Kejohanan Olahraga Tahunan disambung semula dengan acara 4x200 meter antara sekolah. Antara sekolah yang telah mengambil bahagian pada tahun ini ialah SK Gunung Panjang, SJK (T) Gopeng dan SJK (C) New Kopisan. Tamat acara 4x200 meter jemputan sekolah-sekolah, acara 4x100 meter antara rumah telah diadakan bagi Kategori Lelaki dan Perempuan (A/B). Kemudian diikuti acara tarik tali terbuka akhir antara rumah yang melibatkan Kategori Lelaki (Rumah Hijau vs Rumah Biru) dimenangi Rumah Hijau dan kategori Perempuan (Rumah Hijau vs Rumah Merah) dimenangi Rumah Hijau. Pada tahun ini juga, buat julung kalinya acara khas untuk ibu bapa dan guru turut diadakan. Antaranya ialah acara 4x100 meter (Guru lelaki vs Bapa) telah dimenangi oleh pasukan guru, tarik tali (Guru Lelaki vs Bapa) dimenangi oleh pasukan bapa. Manakala acara Cari Barang (Guru Perempuan vs Ibu) telah dimenangi oleh Puan Jamaliah mewakili kaun ibu.

Setelah selesai semua acara pada Kejohanan Olahraga Tahunan pada tahun ini, majlis diteruskan dengan ucapan penutupan yang disampaikan oleh Encik Azmi b. Kadir, Yang Dipertua PIBG SK Gopeng, TGB serta penyampaian cenderahati dan hadiah kepada pegawai yang membantu ketika temsaya sukan berlangsung serta hadiah perbarisan, johan keseluruhan serta olahragawan dan olahragawati. Cenderahati telah diberikan kepada 2 orang Pegawai Jabatan Pertahanan Awam Malaysia dan 15 orang pelajara Matrikulasi Perak yang telah bertugas. Pada tahun ini, Johan cara perbarisan telah dimenangi oleh Rumah Hijau, Naib Johan Rumah Kuning dan Tempat Ketiga Pra Sekolah. Manakala Rumah Biru telah merangkul Johan Keseluruhan dengan mata sebanyak 915, diikuti Rumah Hijau 886 mata, Rumah Kuning 729 mata dan Rumah Merah 722 mata. Pada tahun ini menyaksikan Olahragawan disandang oleh Mohd Fareez b. Kamarul Azman dari Rumah Biru dan Olahragawati Nurul Farhana Nadia bt. Razman Azli juga dari Rumah Biru.


Disediakan oleh,                                                                                       

(PN. FARIDAH BINTI TAJUDDIN)
Naib Setiausaha Sukan II
SK Gopeng, Tmn. Gopeng Baru

Kontijen perbarisan rumah sukan

 Bacaan doa oleh Ust. Khatib B. Mohamad

 Bacaan ikrar KOT-47 oleh adik Mohd Shahmi Aiman B. Shafie

 Ucapan perasmian oleh En. Mohd Helmi B. Jamaludin PPT, Penghulu Kanan Daerah Kampar
 
 Acara sukaneka murid Pra Sekolah

 Acara Tarik Tali Ibu Bapa vs Guru

 Aksi acara 4x100m
 Persembahan silat

Olahragawan KOT-47, adik Mohd Fareez B. Kamarul Azman

 Wajah ceria Johan Keseluruhan KOT-47, Rumah Biru
 

No comments:

Post a Comment