Thursday 5 March 2015

LAPORAN AKTIVITI


LAPORAN KEJOHANAN

MERENTAS DESA SKGTGB 2015


TARIKH  : RABU / 4 MAC 2015
MASA     : 2.30 - 4.30 PETANG
TEMPAT : PERKARANGAN KG. PULAI, GOPENG

          Kejohanan Merentas Desa merupakan salah satu aktiviti tahunan SK Gopeng, Taman Gopeng Baru yang sering mendapat sambutan dan sokongan yang menggalakkan dalam kalangan warga sekolah dan ibu bapa. Aktiviti ini dianjurkan oleh Unit Kokurikulum SKGTGB dengan kerjasama Unit Sukan SKGTGB. Pungutan mata dalam acara ini merupakan penyumbang besar kepada mata semua rumah sukan yang mengambil bahagian dalam Kejohanan Olahraga Tahunan setiap tahun. Acara merentas desa ini hanya melibatkan murid-murid tahun 4, 5 dan 6 sahaja. Seramai 186 orang murid yang mewakili 4 buah rumah sukan iaitu Merah, Hijau, Kuning dan Biru telah mengambil bahagian.

          Aktiviti bermula seawal jam 2.00 petang. Guru-guru rumah sukan saling membantu menyusun murid-murid mengikut rumah sukan masing-masing serta mengedarkan baju rumah sukan. Pada jam 2.15 petang, para hakim mengambil kehadiran murid-murid untuk 1 markah kehadiran bagi setiap murid. Selepas itu, En. Azrol Hakimi B. Zainol Abidin memberikan taklimat kejohanan dan keselamatan kepada semua peserta yang mengambil bahagian. Murid-murid perlu menghabiskan larian jarak jauh sejauh 2.2 km bagi murid lelaki dan murid perempuan mengelilingi kawasan Kg. Pulai, Gopeng. Seterusnya, pada jam 2.30 petang, murid-murid membuat aktiviti memanaskan badan dengan dibantu oleh Pn. Faridah Bt. Tajuddin.

          Tepat jam 3.00 petang, acara merentas desa bagi kategori perempuan dimulakan. Larian peserta dimulakan oleh En. Zinal Ariffin B. Md. Raslan sebagai pelepas. Pada jam 3.30 petang pula, larian bagi kategori lelaki pula dijalankan. Kejohanan pada tahun ini berjalan lancar kerana mendapat bantuan keselamatan daripada anggota polis dari Balai Polis Gopeng. Ibu bapa juga turut hadir memberikan sokongan dan bantuan kepada pihak sekolah.

            Pada jam 3.45 petang, Aktiviti berhenti rehat selama 15 minit. Tepat jam 4.00 petang, En. Azrol Hakimi B. Zainol Abidin mengumumkan keputusan keseluruhan pungutan mata bagi setiap rumah. Di kedudukan pertama ialah Rumah Biru (111 mata), kedua ialah Rumah Merah (85 mata), ketiga ialah Rumah Hijau (77 mata) manakala tempat keempat ialah Rumah Kuning (69 mata). 

        Selepas itu, majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang dijalankan. Penyampaian hadiah disempurnakan oleh YDP PIBG SKGTGB, En. Mohd Faizal Bin Replis. Hadiah disampaikan kepada 20 pemenang terawal bagi setiap kategori. Para pemenang menerima hadiah berbentuk kalungan pingat. Bagi kategori lelaki, Johan disandang oleh adik Syed Adli B. Syed Fuad (MERAH), Naib Johan disandang oleh adik Muhammad Haikal Azrin B. Mahathir (HIJAU) dan Tempat Ketiga pula dimenangi oleh adik Ahmad Akmal Firas B. Azman Jailani (BIRU). Bagi kategori perempuan pula, Johan disandang oleh adik Hani Bt. Rosdi (BIRU), Naib Johan disandang oleh adik Hetty Sarlene Bt. Mat Sani (BIRU) dan Tempat Ketiga dimenangi oleh adik Nur Fatihah Bt. Mohd Shah Rizal (KUNING).

           Aktiviti bersurai pada jam 4.30 petang. Secara keseluruhan, kejohanan pada kali ini berjalan lancar. Tiada sebarang kemalangan berlaku. Unit Kokurikulum SKGTGB mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat. Syabas diucapkan. Diharapkan agar kita dapat merancang dan melakukan sesuatu yang lebih baik pada masa mendatang. Semoga Allah membalas jasa baik kalian.


Laporan disediakan oleh,                                                                                5 MAC 2015 

(EN. AZROL HAKIMI BIN ZAINOL ABIDIN)
Setiausaha,
Kejohanan Merentas Desa SKGTGB 2015.


No comments:

Post a Comment