Thursday 17 April 2014

LAPORAN AKTIVITI

LAPORAN
KEJOHANAN MERENTAS DESA
PERINGKAT SEKOLAH TAHUN 2014

TARIKH  : RABU / 16 APRIL 2014

MASA     : 2.30 - 4.30 PETANG
TEMPAT : PERKARANGAN KG. PULAI, GOPENG

          Kejohanan Merentas Desa merupakan salah satu aktiviti tahunan SK Gopeng, Taman Gopeng Baru yang sering mendapat sambutan dan sokongan yang menggalakkan dalam kalangan warga sekolah dan ibu bapa. Aktiviti ini dianjurkan oleh Unit Kokurikulum SKGTGB dengan kerjasama Unit Sukan SKGTGB. Pungutan mata dalam acara ini merupakan penyumbang besar kepada mata semua rumah sukan yang mengambil bahagian dalam Kejohanan Olahraga Tahunan setiap tahun. Pada tahun ini, acara merentas desa ini hanya melibatkan murid-murid tahun 4, 5 dan 6 sahaja. Seramai 182 orang murid yang mewakili 4 buah rumah sukan iaitu Merah, Hijau, Kuning dan Biru telah mengambil bahagian.

          Aktiviti bermula seawal jam 2.15 petang. Guru-guru rumah sukan saling membantu menyusun murid-murid mengikut rumah sukan masing-masing serta mengedarkan baju rumah sukan. Pada jam 2.30 petang, para hakim mengambil kehadiran murid-murid untuk 1 markah kehadiran bagi setiap murid. Selepas itu, En. Azrol Hakimi B. Zainol Abidin memberikan taklimat kejohanan dan keselamatan kepada semua peserta yang mengambil bahagian. Murid-murid perlu menghabiskan larian jarak jauh sejauh 1.5 km bagi murid lelaki dan 1 km bagi murid perempuan mengelilingi kawasan Kg. Pulai, Gopeng. Seterusnya, pada jam 2.45 petang, murid-murid membuat aktiviti memanaskan badan dengan dibantu oleh En. Norsahizal B. Nordin.

          Tepat jam 3.00 petang, acara merentas desa bagi kategori perempuan dimulakan. Larian peserta dimulakan oleh En. Zinal Ariffin B. Md. Raslan sebagai pelepas. Pada jam 3.30 petang pula, larian bagi kategori lelaki pula dijalankan. Kejohanan pada tahun ini berjalan lancar kerana mendapat bantuan keselamatan daripada anggota polis dari Balai Polis Gopeng. Ibu bapa juga turut hadir memberikan sokongan dan bantuan kepada pihak sekolah.

          Pada jam 4.00 petang, majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang dijalankan. Penyampaian hadiah disempurnakan oleh YDP PIBG SKGTGB, En. Mohd Faizal Bin Replis dan PK Pentadbiran SKGTGB, En. Zinal Ariffin B. Md. Raslan. Hadiah disampaikan kepada 20 pemenang terawal bagi setiap kategori. Para pemenang menerima hadiah berbentuk kalungan pingat. Bagi kategori lelaki, Johan disandang oleh adik Mohamad Shafirul B. Mohd Ghani (MERAH), Naib Johan disandang oleh adik Muhammad Haikal Azrin B. Mahathir (HIJAU) dan Tempat Ketiga pula dimenangi oleh adik Bah Jasrio a/l Hisam (BIRU). Bagi kategori perempuan pula, Johan disandang oleh adik Hetty Sarlene Bt. Mat Sani (BIRU), Naib Johan disandang oleh adik Zuhaisa a/p Jali (BIRU) dan Tempat Ketiga dimenenangi oleh adik Hani Bt. Rosdi (BIRU).

          Selepas tamat majlis penyampaian hadiah, Pn. Nor ‘Asikein Bt. Jamil @ A. Wahab mengumumkan keputusan keseluruhan pungutan mata bagi setiap rumah. Di kedudukan pertama ialah Rumah Biru (110 mata), kedua ialah Rumah Hijau (86 mata), ketiga ialah Rumah Merah (85 mata) manakala tempat keempat ialah Rumah Kuning (57 mata). Aktiviti bersurai pada jam 4.30 petang. Secara keseluruhan, kejohanan pada kali ini berjalan lancar. Tiada sebarang kemalangan berlaku. Unit Kokurikulum SKGTGB mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat. Syabas diucapkan. Diharapkan agar kita dapat merancang dan melakukan sesuatu yang lebih baik pada masa mendatang. Semoga Allah membalas jasa baik kalian.


Laporan disediakan oleh,                                                                            17 APRIL 2014 

 
(EN. AZROL HAKIMI BIN ZAINOL ABIDIN)
Setiausaha,
Kejohanan Merentas Desa SKGTGB 2014.
 
VIDEO
PERTANDINGAN MERENTAS DESA 2014
 
SELAMAT MENONTON!

 

No comments:

Post a Comment