Thursday 4 April 2013

LAPORAN AKTIVITI

LAPORAN
KEJOHANAN MERENTAS DESA PERINGKAT SEKOLAH
TAHUN 2013

TARIKH  : RABU / 3 APRIL 2013
MASA    : 2.00 - 4.30 PETANG
TEMPAT : PERKARANGAN KG. PULAI, GOPENG


     Kejohanan Merentas Desa merupakan salah satu aktiviti tahunan SK Gopeng, Taman Gopeng Baru yang sering mendapat sambutan dan sokongan yang menggalakkan dalam kalangan warga sekolah dan ibu bapa. Aktiviti ini dianjurkan oleh Unit Kokurikulum SKGTGB dengan kerjasama Unit Sukan SKGTGB. Pungutan mata dalam acara ini merupakan penyumbang besar kepada mata semua rumah sukan yang mengambil bahagian dalam Kejohanan Olahraga Tahunan setiap tahun. Pada tahun ini, acara merentas desa ini hanya melibatkan murid-murid tahun 4, 5 dan 6 sahaja. Seramai 228 orang murid yang mewakili 4 buah rumah sukan iaitu Merah, Hijau, Kuning dan Biru telah mengambil bahagian. 
     Aktiviti bermula seawal jam 2.00 petang. Guru-guru rumah sukan saling membantu menyusun murid-murid mengikut rumah sukan masing-masing serta mengedarkan baju rumah sukan. Pada jam 2.15 petang, para hakim mengambil kehadiran murid-murid untuk 1 markah kehadiran bagi setiap murid. Seterusnya, pada jam 2.30 petang, murid-murid membuat aktiviti memanaskan badan dengan dibantu oleh En. Hakimi. Selepas itu, En. Hakimi memberikan taklimat kejohanan dan keselamatan kepada semua peserta yang mengambil bahagian. Murid-murid perlu menghabiskan larian jarak jauh sejauh 1.5 km mengelilingi kawasan Kg. Pulai, Gopeng. 
     Tepat jam 3.00 petang, acara merentas desa bagi kategori perempuan dimulakan. Larian peserta dimulakan oleh En. Zinal Ariffin sebagai pelepas. Pada jam 3.30 petang pula, peserta kategori lelaki pula dijalankan. Kejohanan pada tahun ini berjalan lancar kerana mendapat bantuan keselamatan daripada anggota polis dari Balai Polis Gopeng. Ibu bapa juga turut hadir memberikan sokongan dan bantuan kepada pihak sekolah.
     Pada jam 4.00 petang, majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang dijalankan. Penyampaian hadiah disempurnakan oleh Guru Besar SKGTGB, Pn. Shariffah Hafidzah. Hadiah disampaikan kepada 20 pemenang terawal bagi setiap kategori. Para pemenang menerima hadiah berbentuk kalungan pingat. Bagi kategori lelaki, Johan disandang oleh adik Syamsuzzaman (KUNING), Naib Johan disandang oleh adik Azril Firhan (BIRU) dan Tempat Ketiga pula dimenangi oleh adik Hadi (MERAH). Bagi kategori perempuan pula, Johan disandang oleh adik Amiesya Melyanna (HIJAU), Naib Johan disandang oleh adik Nur Fazlin (HIJAU) dan Tempat Ketiga dimenenangi oleh adik Nurul Farhana Nadia (BIRU). 
     Selepas tamat majlis penyampaian hadiah, En. Norsahizal mengumumkan keputusan keseluruhan pungutan mata bagi setiap rumah. Di kedudukan pertama ialah Rumah Biru (96 mata), kedua ialah Rumah Hijau (85 mata), ketiga ialah Rumah Kuning (66 mata) manakala tempat keempat ialah Rumah Merah (63 mata). Aktiviti bersurai pada jam 4.30 petang. Secara keseluruhan, kejohanan pada kali ini berjalan lancar. Tiada sebarang kemalangan berlaku. Unit Kokurikulum SKGTGB mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat. Syabas diucapkan. Diharapkan agar kita dapat merancang dan melakukan sesuatu yang lebih baik pada masa mendatang. Semoga Allah membalas jasa baik kalian.

Laporan disediakan oleh,


(EN. AZROL HAKIMI BIN ZAINOL ABIDIN)
Setiausaha,
Kejohanan Merentas Desa SKGTGB.


CIK DEWI HARTINI SIBUK MENCATAT KEHADIRAN PESERTA

PN. RAUDAH MEMBERIKAN AMANAT TERAKHIR KEPADA PARA PESERTA

SIAP SEDIA UNTUK DILEPASKAN OLEH EN. ZINAL ARIFFIN

 AKSI SPONTAN PESERTA KETIKA LARIAN

 PN. SHARIFFAH HAFIDZAH, GURU BESAR SKGTGB 
MENYAMPAIKAN HADIAH KEPADA PARA PEMENANG


No comments:

Post a Comment