Assalamualaikum
warahmatullahi wabarakatuh
Selamat Sejahtera
Yang Berusaha
Penolong-penolong Kanan, Guru Cemerlang, guru-guru, dan seterusnya murid-murid yang dikasihi sekalian
Selamat Sejahtera
Yang Berusaha
Penolong-penolong Kanan, Guru Cemerlang, guru-guru, dan seterusnya murid-murid yang dikasihi sekalian
Tanggal Khamis 2 Januari 2014 bersamaan
30 Safar 1435 Hijriyyah menandakan permulaan sesi persekolahan baru. Saya
mengambil kesempatan ini mengucapkan selamat datang kepada semua murid,
khususnya yang baru memasuki alam persekolahan darjah satu.
Sesungguhnya perjuangan dan perjalanan
kalian dalam proses pembelajaran masih jauh. Jika habis air tujuh lautan
digunakan sebagai tinta untuk menulis segala butiran ilmu pengetahuan, nescaya
masih belum mencukupi. Kita semua hendaklah menyedari bahawa dalam kesempatan
usia yang cuma sebentar di dunia yang fana ini, keupayaan pemerolehan ilmu
seseorang sangatlah terhad.
Justeru, kita hendaklah menghormati
para ilmuan dalam segala bidang, termasuk guru-guru di sekolah. Walaupun
maklumat boleh diakses dengan mudah di hujung jari, iaitu sekadar menekan papan
kekunci komputer, pembelajaran di bilik darjah masih tidak boleh diganti dengan
cara lain yang lebih berkesan. Bilik darjah ialah dunia kecil para pelajar
untuk menerokai, menyaring dan mengorganisasi ilmu yang telah disusun
berdasarkan keperluan kurikulum, nilai, dan aplikasi kehidupan di dunia
sebenar.
Guru dan murid-murid yang dihormati,
Saya ingin mengajak murid-murid supaya berfikir
sejenak tentang tujuan anda datang semula ke sekolah. Mengapakah anda sanggup
bersusah payah bangun pagi membersihkan diri semata-mata untuk berkejar ke
sekolah? Apakah yang menarik di sekolah kita?
Anda boleh sahaja memilih untuk melayan
mata, iaitu tidur semahu-mahunya, atau bersengkang mata di hadapan skrin
televisyen dan komputer. Hakikatnya murid-murid
berkorban meninggalkan keselesaan di
rumah masing-masing, sebaliknya bersesak-sesak di bilik darjah, di kantin dan
di pusat sumber sekolah. Berbaloikah pengorbanan anda?
Sebagai muris yang bijak laksana, anda
pasti telah menetapkan objektif yang jelas sebelum hadir ke sekolah saban hari.
Alangkah ruginya jika setelah sehari suntuk di sekolah, anda balik dengan
tangan kosong ke rumah. Sebarang bentuk pembaziran bakal merugikan diri
sendiri, keluarga, masyarakat, pembayar cukai dan negara.
Sebenarnya pembelajaran tidak terbatas
kepada penguasaan isi pelajaran semata-mata. Pembelajaran tersembunyi (hidden
curriculum) dari segi etika, sahsiah, sikap, keperibadian, perawakan,
penampilan, kerja berpasukan dan keberanian menyatakan pendapat ialah antara
elemen-elemen modal insan utama yang diterapkan dalam sesi pembelajaran.
penggemblengan bakat murid-murid juga
sangat dititikberatkan di sekolah.
Guru dan murid-murid yang dimuliakan,
Segala aktiviti yang dirancangkan oleh
pihak sekolah akhirnya menjurus kepada pembelajaran. Maka, di samping mengikuti
pembelajaran formal di bilik darjah, murid akan dibimbing menyertai kegiatan koakademik,
kokurikulum dan sukan. Murid berpeluang mengasah bakat kepimpinan, interaksi,
protokol dan meraih pengalaman pembelajaran yang menyeronokkan.
Pencapaian sesebuah sekolah sangat
bergantung kepada penglibatan murid dalam segala bidang yang saya sebutkan
sebentar tadi. Bagi menjayakan semua aktiviti sekolah, saya menyeru supaya
semua murid, tanpa kecuali, memberikan kerjasama dan sokongan yang tidak
berbelah bahagi agar kita semua berjaya menikmati hasil pembelajaran yang
diharapkan. Tunjukkan tahap disiplin yang tertinggi dalam penyertaan semua
aktiviti yang bakal dilaksanakan sepanjang tahun 2014 kelak, Insya-Allah.
Terima kasih atas perhatian anda. Saya
akhiri ucapan saya dengan Wabillahi taufiq wal hidayah. Wassalamu alaikum
warahmatullahi wabarakatuh.
WAN PATIMAH BINTI WAN ZAKARIA
GURU BESAR SK GOPENG, TAMAN GOPENG BARU