Tuesday, 31 December 2013

DARI MEJA GURU BESAR


Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh
Selamat Sejahtera

Yang Berusaha
Penolong-penolong Kanan, Guru Cemerlang, guru-guru, dan seterusnya murid-murid yang dikasihi sekalian

Tanggal Khamis 2 Januari 2014 bersamaan 30 Safar 1435 Hijriyyah menandakan permulaan sesi persekolahan baru. Saya mengambil kesempatan ini mengucapkan selamat datang kepada semua murid, khususnya yang baru memasuki alam persekolahan darjah satu.

Sesungguhnya perjuangan dan perjalanan kalian dalam proses pembelajaran masih jauh. Jika habis air tujuh lautan digunakan sebagai tinta untuk menulis segala butiran ilmu pengetahuan, nescaya masih belum mencukupi. Kita semua hendaklah menyedari bahawa dalam kesempatan usia yang cuma sebentar di dunia yang fana ini, keupayaan pemerolehan ilmu seseorang sangatlah terhad.

Justeru, kita hendaklah menghormati para ilmuan dalam segala bidang, termasuk guru-guru di sekolah. Walaupun maklumat boleh diakses dengan mudah di hujung jari, iaitu sekadar menekan papan kekunci komputer, pembelajaran di bilik darjah masih tidak boleh diganti dengan cara lain yang lebih berkesan. Bilik darjah ialah dunia kecil para pelajar untuk menerokai, menyaring dan mengorganisasi ilmu yang telah disusun berdasarkan keperluan kurikulum, nilai, dan aplikasi kehidupan di dunia sebenar.

Guru dan murid-murid yang dihormati,

Saya ingin mengajak murid-murid supaya berfikir sejenak tentang tujuan anda datang semula ke sekolah. Mengapakah anda sanggup bersusah payah bangun pagi membersihkan diri semata-mata untuk berkejar ke sekolah? Apakah yang menarik di sekolah kita?

Anda boleh sahaja memilih untuk melayan mata, iaitu tidur semahu-mahunya, atau bersengkang mata di hadapan skrin televisyen dan komputer. Hakikatnya murid-murid berkorban meninggalkan keselesaan di rumah masing-masing, sebaliknya bersesak-sesak di bilik darjah, di kantin dan di pusat sumber sekolah. Berbaloikah pengorbanan anda?

Sebagai muris yang bijak laksana, anda pasti telah menetapkan objektif yang jelas sebelum hadir ke sekolah saban hari. Alangkah ruginya jika setelah sehari suntuk di sekolah, anda balik dengan tangan kosong ke rumah. Sebarang bentuk pembaziran bakal merugikan diri sendiri, keluarga, masyarakat, pembayar cukai dan negara. 

Sebenarnya pembelajaran tidak terbatas kepada penguasaan isi pelajaran semata-mata. Pembelajaran tersembunyi (hidden curriculum) dari segi etika, sahsiah, sikap, keperibadian, perawakan, penampilan, kerja berpasukan dan keberanian menyatakan pendapat ialah antara elemen-elemen modal insan utama yang diterapkan dalam sesi pembelajaran. penggemblengan bakat murid-murid juga sangat dititikberatkan di sekolah.

Guru dan murid-murid yang dimuliakan,

Segala aktiviti yang dirancangkan oleh pihak sekolah akhirnya menjurus kepada pembelajaran. Maka, di samping mengikuti pembelajaran formal di bilik darjah, murid akan dibimbing menyertai kegiatan koakademik, kokurikulum dan sukan. Murid berpeluang mengasah bakat kepimpinan, interaksi, protokol dan meraih pengalaman pembelajaran yang menyeronokkan. 

Pencapaian sesebuah sekolah sangat bergantung kepada penglibatan murid dalam segala bidang yang saya sebutkan sebentar tadi. Bagi menjayakan semua aktiviti sekolah, saya menyeru supaya semua murid, tanpa kecuali, memberikan kerjasama dan sokongan yang tidak berbelah bahagi agar kita semua berjaya menikmati hasil pembelajaran yang diharapkan. Tunjukkan tahap disiplin yang tertinggi dalam penyertaan semua aktiviti yang bakal dilaksanakan sepanjang tahun 2014 kelak, Insya-Allah.


Terima kasih atas perhatian anda. Saya akhiri ucapan saya dengan Wabillahi taufiq wal hidayah. Wassalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

WAN PATIMAH BINTI WAN ZAKARIA
GURU BESAR SK GOPENG, TAMAN GOPENG BARU

SELAMAT KEMBALI KE SEKOLAH

KAMI, WARGA PENDIDIK SK GOPENG, TAMAN GOPENG BARU MENGALU-ALUKAN KEHADIRAN SEMUA MURID KE SESI PERSEKOLAHAN 2014. UNTUK MAKLUMAN, SESI PERSEKOLAHAN AKAN BERMULA PADA 2 JANUARI 2014.

WELCOME 2014