LAPORAN
PROGRAM SINERGI GEMERLAPAN
DAN AKUJANJI MURID TAHUN 6, 2016
Keluarga Asas
Kemajuan Negara. Ungkapan ini sering dijadikan landasan dan dasar kerajaan ke
arah pembentukan sebuah masyarakat yang membangun ke arah negara maju menjelang
Wawasan 2020. Sehubungan itu, Unit Bimbingan dan Kaunseling SK Gopeng, Taman
Gopeng Baru dengan kerjasama Jawatankuasa Program Peningkatan Tahun 6 merasakan
bahawa adalah penting bagi menyedarkan golongan ibu bapa agar memainkan peranan
penting dalam membantu serta bekerjasama dengan pihak sekolah bagi melahirkan
dan membentuk generasi pewaris kepimpinan negara yang mempunyai jati diri serta
disiplin tinggi.
Oleh itu, seperti ketetapan di atas, Unit Bimbingan dan Kaunseling telah mengadakan
program bersama ibu bapa bagi mempersiapkan diri dari aspek keilmuan dalam
menjalankan tanggungjawabnya sebagai pendidik dan pembimbing kepada anak-anak
sebagai pembina sahsiah yang terpuji.
Diharap
Program Keibubapaan ini dapat mendorong para ibu bapa agar menjadikan keluarga
sebagai sebuah institusi terpenting ke arah keutuhan masyarakat dan negara.
Sehubungan itu, anak perlu sentiasa dibekalkan dengan motivasi dalam membentuk
sahsiah diri yang sempurna di samping jati diri yang kuat supaya jiwa mereka
tidak rapuh.
Program ini telah disertai oleh seramai 64
orang murid Tahun 6 yang terdiri daripada kelas Dinamik dan Bestari.
Seterusnya, program dimulakan dengan urusan pendaftaran ibu bapa / penjaga pada
pukul 8.00 pagi di Dewan Terbuka yang dikendalikan oleh Puan Nur Azlina Ayob
dan Puan Rohidayu Zahari sementara Puan Roslina bt Hassan Basri selaku
pengacara majlis. Program turut didibantu oleh Ahli Jawatankuasa Tahun 6 yang telah dilantik.
Semua ibu bapa ditempatkan di dalam dewan dan
duduk bersebelahan dengan anak masing-masing. Tepat jam 8.30 pagi majlis
dimulakan dengan ucapan alu-aluan daripada pengerusi majlis dan diikuti bacaan doa oleh Ustaz Khatib
Mohamed.
Selesai
bacaan doa daripada Ustaz Khatib, Puan Wan Patimah binti Wan Zakaria selaku Guru Besar SK Gopeng, Taman Gopeng Baru pula
dijemput bagi menyampaikan ucapan beliau yang banyak menyentuh tentang program
yang telah dirancang bagi memantapkan lagi pencapaian murid serta isu-isu
berkaitan murid Tahun 6 yang memerlukan pengertian, pemahaman serta kerjasama
dari ibu bapa bagi melicinkan lagi program yang telah diaturkan seterusnya
melakarkan kecemerlangan dalam UPSR 2016 kelak.
Selain
itu, kerjasama ibu bapa amat ditekankan bagi memastikan kecemerlangan murid
digapai dengan mudah dengan terjalinnya ukhwah yang mantap dikalangan warga
sekolah serta ibu bapa dan penjaga.
Selesai
ucapan Puan Guru Besar, Encik Mohd Kasim bin Sokiman selaku PK Pentadbiran
mengambil tempat bagi membentangkan analisis Ujian Saringan Tahun 6 yang telah
diadakan. Beliau juga menerangkan secara terperinci berkaitan pencapaian UPSR
sekolah sebelum ini serta analisis terkini pencapaian murid-murid yang
dipaparkan di skrin putih di hadapan dewan.
Begitu
juga dangan pembentangan pencapaian terkini murid-murid yang dikongsi bersama
ibu bapa agar mereka sedar pencapaian anak masing-masing. Encik Mohd Kasim juga
turut memberi penerangan berkaitan program-program dan aktiviti-aktiviti yang
telah dirancang oleh pihak sekolah sepanjang tahun 2016 khusus buat murid-murid
sasaran UPSR tahun 2016 ini.
Setelah
selesai pembentangan analisis ujian saringan, majlis diteruskan dengan bacaan
ikrar aku janji oleh murid-murid yang diketuai adik Muhammad Hazwan dari kelas
6 Dinamik di hadapan ibu bapa / penjaga masing-masing. Selesai bacaan ikrar,
murid dan ibu bapa dipanggil mengikut nama bertemu guru kelas masing-masing iaitu
Puan Roslina Hassan Basri bagi kelas 6 Dinamik dan Puan Nur Hafizah Ali bagi kelas 6 Bestari.
Pertemuan ini diatur bagi memberi peluang ibu
bapa dan guru berbincang berkaitan pencapaian murid. Selain itu, murid juga
diberi peluang untuk menetapkan sasaran UPSR masing-masing seterusnya membaca
ikrar akujanji sebelum menandatanganinya di hadapan guru serta ibu
bapa/penjaga.
Pelbagai nasihat dan panduan diberikan oleh
guru-guru Tahun 6 secara individu bagi makluman ibu bapa/penjaga demi kebaikan
anak masing-masing . Begitu juga dengan pihak ibu bapa yang turut berkongsi
perasaan dan masalah di rumah bersama guru bagi mencari jalan penyelesaian
terbaik untuk anak mereka. Acara manandatangani slip dan akujanji ini berjaya
dilaksanakan sehingga jam 10.00 pagi.
Kesimpulannya, pertemuan ibu bapa dan guru
dilihat meninggalkan impak positif bagi diri murid dan juga pihak sekolah.
Dengan kerjasama erat yang terjalin dapat dilihat semangat murid untuk mencapai
sasaran dan mengotakan janji yang telah dilafaz di hadapan ibu bapa
masing-masing. Murid-murid juga rasa dihargai dan diberikan perhatian oleh ibu
bapa dan guru-guru menerusi program seumpama ini. Bagi murid-murid yang mana
ibu bapa tidak dapat hadir turut rasa dihargai apabila para guru yang ada
tampil mewakili ibu bapa mereka semasa bacaan ikrar beramai-ramai. Diharap,
program sebegini dapat diteruskan di tahun-tahun mendatang bagi memastikan
hubungan baik ibu bapa dan pihak sekolah sentiasa terjalin erat.
Laporan disediakan oleh,
NOR
FAZILA BINTI YAHYUDDIN
Guru Bimbingan dan Kaunseling,
SK Gopeng, Taman Gopeng Baru.
No comments:
Post a Comment