Selamat Sejahtera
Yang Berusaha,
Penolong-penolong kanan, guru-guru cemerlang, guru-guru, dan seterusnya murid-murid yang dikasihi sekalian.
Tanggal
Isnin, 4 Januari 2016 bersamaan 23 Rabiul Awal 1437 Hijriyyah
menandakan permulaan sesi persekolahan baru. Saya mengambil kesempatan
ini mengucapkan selamat datang kepada semua murid, khususnya yang baru
memasuki alam persekolahan darjah satu.
Sesungguhnya
perjuangan dan perjalanan kalian dalam proses pembelajaran masih jauh.
Jika habis air tujuh lautan digunakan sebagai tinta untuk menulis segala
butiran ilmu pengetahuan, nescaya masih belum mencukupi. Kita semua
hendaklah menyedari bahawa dalam kesempatan usia yang cuma sebentar di
dunia yang fana ini, keupayaan pemerolehan ilmu seseorang sangatlah
terhad.
Justeru,
kita hendaklah menghormati para ilmuan dalam segala bidang, termasuk
guru-guru di sekolah. Walaupun maklumat boleh diakses dengan mudah di
hujung jari, iaitu sekadar menekan papan kekunci komputer, pembelajaran
di bilik darjah masih tidak boleh diganti dengan cara lain yang lebih
berkesan. Bilik darjah ialah dunia kecil para pelajar untuk menerokai,
menyaring dan mengorganisasi ilmu yang telah disusun berdasarkan
keperluan kurikulum, nilai, dan aplikasi kehidupan di dunia sebenar.
Guru dan murid-murid yang dihormati,
Saya ingin mengajak murid-murid supaya
berfikir sejenak tentang tujuan anda datang semula ke sekolah.
Mengapakah anda sanggup bersusah payah bangun pagi membersihkan diri
semata-mata untuk berkejar ke sekolah? Apakah yang menarik di sekolah
kita?
Anda
boleh sahaja memilih untuk melayan mata, iaitu tidur semahu-mahunya,
atau bersengkang mata di hadapan skrin televisyen dan komputer.
Hakikatnya murid-murid berkorban
meninggalkan keselesaan di rumah masing-masing, sebaliknya
bersesak-sesak di bilik darjah, di kantin dan di pusat sumber sekolah.
Berbaloikah pengorbanan anda?
Sebagai
muris yang bijak laksana, anda pasti telah menetapkan objektif yang
jelas sebelum hadir ke sekolah saban hari. Alangkah ruginya jika setelah
sehari suntuk di sekolah, anda balik dengan tangan kosong ke rumah.
Sebarang bentuk pembaziran bakal merugikan diri sendiri, keluarga,
masyarakat, pembayar cukai dan negara.
Sebenarnya pembelajaran tidak terbatas kepada penguasaan isi pelajaran semata-mata. Pembelajaran tersembunyi (hidden curriculum)
dari segi etika, sahsiah, sikap, keperibadian, perawakan, penampilan,
kerja berpasukan dan keberanian menyatakan pendapat ialah antara
elemen-elemen modal insan utama yang diterapkan dalam sesi pembelajaran.
penggemblengan bakat murid-murid juga sangat dititikberatkan di sekolah.
Guru dan murid-murid yang dimuliakan,
Segala
aktiviti yang dirancangkan oleh pihak sekolah akhirnya menjurus kepada
pembelajaran. Maka, di samping mengikuti pembelajaran formal di bilik
darjah, murid akan dibimbing menyertai kegiatan koakademik, kokurikulum
dan sukan. Murid berpeluang mengasah bakat kepimpinan, interaksi,
protokol dan meraih pengalaman pembelajaran yang menyeronokkan.
Pencapaian
sesebuah sekolah sangat bergantung kepada penglibatan murid dalam
segala bidang yang saya sebutkan sebentar tadi. Bagi menjayakan semua
aktiviti sekolah, saya menyeru supaya semua murid, tanpa kecuali,
memberikan kerjasama dan sokongan yang tidak berbelah bahagi agar kita
semua berjaya menikmati hasil pembelajaran yang diharapkan. Tunjukkan
tahap disiplin yang tertinggi dalam penyertaan semua aktiviti yang bakal
dilaksanakan sepanjang tahun 2016 kelak, Insya-Allah.
Terima
kasih atas perhatian anda. Saya akhiri ucapan saya dengan Wabillahi
taufiq wal hidayah. Wassalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh.
WAN PATIMAH BINTI WAN ZAKARIA
GURU BESAR
SK GOPENG, TAMAN GOPENG BARU
No comments:
Post a Comment