LAPORAN PROGRAM GILAPAN PERMATA
DAN AKUJANJI MURID TAHUN 6
SESI 2013
DAN AKUJANJI MURID TAHUN 6
SESI 2013
Tarikh : 31 Januari 2013 (Khamis)
Masa : 8.00 pagi – 12.30 tengahari
Tempat : Dewan tertutup, SK Gopeng, Taman Gopeng Baru
Keluarga Asas Kemajuan Negara. Ungkapan ini sering dijadikan
landasan dan dasar kerajaan ke arah pembentukan sebuah masyarakat yang
membangun ke arah negara maju menjelang Wawasan 2020. Sehubungan itu, Unit
Bimbingan dan Kaunseling SK Gopeng, Taman Gopeng Baru merasakan bahawa adalah
penting bagi menyedarkan golongan ibu bapa agar memainkan peranan penting dalam
membantu serta bekerjasama dengan pihak sekolah bagi melahirkan dan membentuk
generasi pewaris kepimpinan negara yang mempunyai jati diri serta disiplin
tinggi.
Oleh itu, seperti ketetapan
di atas, Unit Bimbingan dan Kaunseling
telah mengadakan program bersama ibu bapa bagi
mempersiapkan diri dari aspek keilmuan dalam menjalankan
tanggungjawabnya sebagai pendidik dan pembimbing kepada anak-anak sebagai
pembina sahsiah yang terpuji. Diharap Program Keibubapaan ini dapat mendorong
para ibu bapa agar menjadikan keluarga sebagai sebuah institusi terpenting ke
arah keutuhan masyarakat dan negara. Sehubungan itu, anak perlu sentiasa
dibekalkan dengan motivasi dalam membentuk sahsiah diri yang sempurna di
samping jati diri yang kuat supaya jiwa mereka tidak rapuh.
Program ini telah dimulakan dengan urusan pendaftaran ibu bapa / penjaga
pada pukul 8.00 pagi di Dewan Tertutup yang dikendalikan oleh Puan Erni Johan
dan Cik Dewi Hartini Razali. Diikuti ketibaan tetamu jemputan iaitu Encik Nor
Azua bin Mohd Daud, Kaunselor PPDKS jam 8.30 pagi seterusnya menandatangani
buku pelawat sekolah. Program ini dimulakan dengan bacaan doa dari Ustaz Khatib
bin Mohamed. Juruacara majlis iaitu Encik Ahmad Juahir bin Naim memberikan
ucapan alu-aluan kepada para hadirin seterusnya Puan Guru Besar iaitu Puan
Hajah Shariffah Hafidzah binti Meor Hassan pula mengambil tempat untuk
menyampaikan sepatah dua kata sebagai ucapan beliau yang sedikit sebanyak
menerangkan tujuan program yang diadakan dan menghargai kesudian ibu
bapa/penjaga hadir meluangkan masa mengikuti perkembangan anak masing-masing.
Pada jam 9.00 pagi, tibalah masa yang dinanti iaitu Program
Keibubapaan yang disampaikan oleh Encik Nor Azua bin Mohd Daud selaku Kaunselor
PPDKS yang memberi ceramah tentang ilmu keibubapaan dalam memastikan
kecemerlangan akademik anak-anak dapat direalisasikan. Beliau banyak menyentuh
berkaitan peranan ibu bapa dalam membentuk akhlak serta disiplin diri anak-anak
serta bagaimana menangani permasalahan yang timbul di kalangan anak-anak yang
berbeza perwatakan.
Selain itu, beliau juga berkongsi ilmu bagaimana selaku ibu bapa
kita melihat potensi yang tersembunyi yang
ada dalam diri anak-anak dan tidak disedari oleh ibu bapa itu
sendiri.Bahkan cara-cara yang betul dan sesuai dapat mencungkil potensi diri anak-anak berkembang dengan
sentiasa memberikan dorongan serta sokongan tanpa jemu.Ibu bapa disarankan agar
berkomunikasi dengan betul agar dapat membantu anak-anak berkongsi permasalahan yang mereka hadapi
serta tidak memendam di hati .Sebaliknya jika ibu bapa gagal menangani
anak-anak dengan cara yang betul maka potensi anak-anak terpendam begitu sahaja
dan gagal mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik.
Sesi ceramah keibubapaan ini
diakhiri dengan beberapa panduan/tips untuk merangsang murid-murid agar
menjadikan 5A sebagai sasaran dan matlamat mereka dengan menjadikan kata-kata
rangsangan sebagai dorongan seharian mereka. Seterusnya, sebelum program
dihentikan seketika untuk berehat, majlis penyampaian cenderahati dijalankan
dan telah disampaikan oleh Puan Guru Besar kepada penceramah jemputan iaitu
Encik Nor Azua bin Mohd Daud.
Seterusnya jam 10.30 pagi, para ibu bapa dan murid-murid
dilepaskan untuk menikmati kudapan yang telah disediakan.Seterusnya, program
disambung semula jam 11.00 pagi iaitu diikuti dengan pembentangan analisis
keputusan peperiksaan murid-murid Tahun 6 untuk makluman ibu bapa serta
penjaga.Pembentangan ini disampaikan oleh Puan Hajah Rohana binti Zakaria di
hadapan para ibu bapa/penjaga dengan harapan mereka turut mengikuti serta
mengetahui sejauh mana perkembangan pembelajaran anak-anak serta berkongsi
maklumat berkaitan program-program dan aktiviti yang telah dan akan dijalankan
oleh pihak sekolah bagi memastikan kejayaan setiap murid Tahun 6.
Selesai pembentangan analisis keputusan sesi soal jawab diadakan
dan terdapat persoalan berkaitan latihan /kerja sekolah yang diberikan oleh
guru-guru telah dilontarkan oleh ibu bapa/penjaga dalam sesi ini. Persoalan ini
dijawab oleg guru-guru Tahun 6 mengikut matapelajaran masing-masing iaitu Puan
Hjh Rohana Zakaria ( Matematik), Puan Nizam Baharuddin ( B.Melayu), Puan Erni
Johan ( Sains) dan Cik Dewi Hartini Razali ( B.Inggeris).
Seterusnya jam, 11.30 pagi diadakan sesi bacaan ikrar murid-murid
yang dilakukan dihadapan ibu bapa/penjaga masing-masing dengan harapan mereka
dapat mengotakan segala janji yang telah dilafazkan dengan penuh semangat untuk
berjaya dalam pencapaian akademik masing-masing. Bacaan ikrar ini telah
dipimpin oleh adik Zulitqan Nabhan bin Ahmad diikuti oelh semua murid Tahun 6
Dinamik, 6 Bestari dan 6 Gemilang.
Program diteruskan dengan sesi menandatangani akujanji mengikut
kelas masing-masing iaitu menandatangani seterusnya menetapkan sasaran UPSR murid-murid di
hadapan guru dan ibu bapa.Sesi ini dijalankan serentak ketiga-tiga kelas yang
dikendalikan oleh guru-guru kelas iaitu Puan Nizam Baharuddin kelas 6 Dinamik,
Puan Farah Juliana Zahari Tahun 6 Bestari dan Puan Erni Johan kelas 6 Gemilang.
Program Gilapan Permata dan Akujanji ini
tamat jam 12.30 tengahari.
Laporan disediakan oleh,
(NOR FAZILA BINTI YAHYUDDIN)
Guru Bimbingan dan Kaunseling,SK Gopeng, Taman Gopeng Baru
SEBAHAGIAN IBU BAPA YANG HADIR
SESI INTERAKSI IBU DAPA DENGAN GURU KELAS
(PENYERAHAN SLIP UJIAN)
IKRAR MURID DI HADAPAN IBU BAPA MASING-MASING
PENYAMPAIAN CENDERAHATI KEPADA PENCERAMAH JEMPUTAN,
EN.NOR AZUA BIN MOHD DAUD
No comments:
Post a Comment