Tuesday 28 February 2012

Monday 27 February 2012

GURU BERTUGAS

GURU BERTUGAS MINGGUAN

TARIKH
5 Mac-9 Mac 2012

GURU BERTUGAS
Cik Roslina
Pn. Erni
En. Mohd Shah Rizal

PENOLONG KANAN BERTUGAS
En. Zinal Ariffin Bin Md. Raslan
(Penolong Kanan Pentadbiran)

TAJUK UCAPAN PERHIMPUNAN
"Langkah-langkah keselamatan sepanjang masa persekolahan"

KATA PUJANGGA

"Tidak ada kecerdasan yang lebih baik daripada kecerdasan yang lain. Kecerdasan terbaik bagi anda ialah kecerdasan yang anda miliki bukan yang dimiliki oleh orang lain.."
-Saidina Abu Bakar r.a-
 

Wednesday 22 February 2012

LAPORAN AKTIVITI SEKOLAH

LAPORAN KURSUS KEPIMPINAN 2012

TARIKH
18 Februari 2012
HARI
Sabtu
MASA
8.00 – 5.00 petang
SASARAN
109 orang 
(Pengawas Sekolah, Pengawas Pusat Sumber, Ketua Kelas dan Penolong Ketua Kelas)
TEMPAT
Dewan Tertutup, SK Gopeng, Tmn. Gopeng Baru

Unit Bimbingan dan Kaunseling SK Gopeng, Taman Gopeng Baru telah menganjurkan Kursus Kepimpinan 2012  dengan kerjasama  Pusat Sumber Sekolah, Unit Disiplin dan Pengawas seperti ketentuan di atas. Program telah disertai seramai 109 orang golongan pemimpin cilik sekolah dan dikendalikan seramai 11 orang guru.
 Kursus sehari ini telah dimulakan dengan ucapan alu-aluan daripada Penolong Kanan Hal Ehwal Murid iaitu Encik Zamhuri bin Tasir sebagai taklimat awal kepada para peserta kursus. Seterusnya, sesi diteruskan dengan slot yang pertama iaitu taklimat mengenai Peranan dan Tanggungjawab Pemimpin yang telah disampaikan oleh kaunselor sekolah iaitu Puan Nor Fazila binti Yahyuddin. Dalam slot ini, para peserta telah didahkan tantang cirri-ciri pemimpin, gaya kepimpinan serta peranan seorang pemimpin. Slot beliau tamat pada pukul 10.15 pagi.
         Pada jam 10.15 pagi, para peserta telah dilepaskan untuk menikmati sarapan pagi di kantin sekolah sebelum diteruskan dengan slot 2 yang telah disampaikan oleh Encik Shah Rizal tentang tajuk ciri-ciri pemimpin dan etiket pengucapan umum.
        Seterusnya, pada pukul 12.00 tengah hari, murid-murid dilepaskan untuk menikmati makan tengah hari dan bersiap untuk solat Zohor berjemaah yang diselia oleh Ustaz Khatib di surau sekolah. Selesai solat, murid-murid berkumpul semula di dewan jam 2.00 petang untuk mengikuti slot seterusnya yang telah disampaikan oleh Ustaz Khatib yang bertajuk “Pengurusan Masa”. Belaiu menekankan tentang pentingnya mengurus masa dengan bijak demi memastikan kejayaan diri di dunia dan akhirat terutama kepada pemimpin-pemimpin yang patut menunjukkan contoh yang baik dan positif terhadap pengikut-pengikutnya. Slot ini berakhir jam 3.00 petang.
      Jam 3.00 petang murid-murid dibahagikan kepada tiga kumpulan iaitu kumpulan Pengawas Sekolah yang dikendalikan oleh Encik Shah Rizal di Dewan Tertutup, kumpulan Pengawas Pusat Sumber yang dikendalikan oleh Puan Salasiah di Pusat Sumber dan kumpulan Ketua dan Penolong Ketua Kelas yang telah dikendalikan oleh Puan Nor Fazila di Dewan Terbuka.
        Encik Shah Rizal telah mengadakan sesi perbahasan di antara pengawas lelaki dan perempuan bagi melatih mereka keyakinan untuk melahirkan pendapat di khalayak serta memupuk semangat bekerjasama sesame ahli kumpulan. Sementara itu, Puan Salasiah telah melatih Pengawas-pengawas Pusat Sumber tentang bagaimana cara mengendalikan atau pengurusan buku-buku di pusat sumber. Manakala kumpulan Ketua dan Penolong Ketua pula dibawa ke Dewan Terbuka untuk sesi latihan dalam kumpulan yang dibahagikan kepada dua kumpulan dengan tajuk “ Masalah disiplin yang sering dihadapi oleh Ketua dan Penolong Ketua di dalam bilik darjah serta cara-cara menghadapinya”.
       Selesai sesi ketiga-tiga kumpulan mereka dikumpulkan semula di Dewan Tertutup untuk mengikuti acara penutup Kursus Kepimpinan ini.Majlis penutupan ini telah disempurnakan oleh Puan Hajjah Salmiah Rahmatul Laila bt V.S.Dawood selaku Guru Besar sekolah. Sebelum itu Encik Shah Rizal telah memberi ucapan  mewakili ahli jawatankuasa kursus diikuti dengan ucapan Puan Guru Besar yang banyak mengingatkan murid-murid tentang tanggungjawab yang telah diamanahkan kepada pengawas serta Ketua kelas dan penolongnya. Sebelum acara berakhir, acara penyampaian cendera hati kepada Puan Guru Besar telah dilakukan yang telah disampaikan oleh Encik Zamhuri bin Tasir selaku Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, SK Gopeng, Taman Gopeng Baru. Murid-murid dilepaskan jam 4.30 petang untuk menikmati minum petang di kantin dan seterusnya bersurai. Kursus Kepimpinan 2012 telah ditamatkan lebih kurang jam 5.00 petang.

Laporan disediakan oleh,

(NOR FAZILA BINTI YAHYUDDIN)
Setiausaha,
Kursus Kepimpinan 2012,
SK Gopeng, Tmn. Gopeng Baru.


EN. ZAMHURI BIN TASIR MENYAMPAIKAN TAKLIMAT KEPADA PESERTA KURSUS

PESERTA-PESERTA YANG HADIR SEDANG MENDENGAR TAKLIMAT

SESI CERAMAH DARIPADA ENCIK MOHD SHAH RIZAL

PARA PESERTA MENIKMATI SARAPAN PAGI BERSAMA-SAMA DI KANTIN SEKOLAH

SEBAHAGIAN PESERTA SEDANG BEKERJASAMA MENYIAPKAN TUGASAN YANG DIBERI

UCAPAN PERASMIAN PENUTUPAN OLEH PUAN GURU BESAR SKGTGB, PN. HJH. SALMIAH RAHMATUL LAILA BINTI V. SHAIK DAWOOD

PENYAMPAIAN CENDERAHATI DARIPADA ENCIK ZAMHURI KEPADA PUAN GURU BESAR

LAPORAN AKTIVITI SEKOLAH

LAPORAN PROGRAM 3K / SEKOLAH SELAMAT 2012

TARIKH
08 Februari 2012
HARI
Rabu
MASA
2.30 – 5.00 petang
SASARAN
Tahun 3,4,5 dan 6 (308 orang murid )
TEMPAT
SK Gopeng, Tmn Gopeng Baru

         Unit Bimbingan dan Kaunseling  SK Gopeng, Taman Gopeng Baru dengan kerjasama Ahli jawatankuasa 3K ( KESELAMATAN, KEBERSIHAN dan KECERIAAN)   telah mengadakan satu Program Sekolah Selamat seperti ketetapan di atas. Seramai tujuh orang anggota bomba telah turun padang untuk memberikan penerangan dan tunjuk cara yang betul berkaitan cara-cara menggunakan alat pemadam api yang betul kepada warga SK Gopeng Taman Gopeng Baru.
         Program  telah dimulakan jam 2.30  petang  di Dewan Terbuka dengan ucapan daripada wakil Penolong Pegawai Bomba Cawangan Gopeng  iaitu Encik Ibrahim.Beliau mengucapkan ribuan terima kasih atas jemputan pihak sekolah dan memberikan taklimat, pesanan dan ingatan yang berguna terutama berkaitan aspek keselamatan di sekolah. Beliau juga member panduan dan tips-tips yang berguna kepada pihak sekolah bagaimana mengindari bahaya kebakaran dan cara bagaimana menanganinya dengan betul. Program  pada petang itu diteruskan dengan ucapan daripada Puan Guru Besar iaitu  Puan Hajah Salmiah Rahmatul Laila binti V.S. Dawood menyampaikan ucapan beliau dan seterusnya merasmikan program.
         Jam 3.00 petang program diteruskan dengan demonstrasi kebakaran dan cara-cara yang betul menggunakan alat pemadam api dan cara-cara bagaimana memadamkan api dengan berkesan di padang sekolah. Beberapa orang murid dan guru secara sukarela telah mencuba dan menggunakan peluang ini untuk memadamkan api setelah ditunjukkan terlebih dahulu oleh anggota bomba tersebut.
         Seterusnya,murid-murid telah berpeluang melihat secara dekat jentera bomba yang dibawa khas dan dipamerkan untuk tontonan murid-murid. Pelbagai alatan dan kemudahan memadamkan kebakaran dapat dilihat  dan diketahui bukan sahaja oleh murid-murid malahan guru-guru juga berpeluang menyaksikan peralatan-peralatan memadamkan kebakaran.Murid-murid juga dibenarkan menaiki jentera bomba dan merasi suasana di dalam kenderaan tersebut.
         Akhir sekali, program ditamatkan dengan penyerahan cenderahati daripada pihak sekolah oleh Puan Hajah Salmiah Rahmatul Laila binti V.S.Dawood kepada wakil pihak bomba iaitu Encik Ibrahim.Program tamat pada pukul 5.00 petang.

Laporan disediakan oleh,

(NOR FAZILA BINTI YAHYUDDIN)
Guru Bimbingan dan Kaunseling,
SK Gopeng, Tmn. Gopeng Baru

UCAPAN DARIPADA PIHAK BOMBA IAITU EN. IBRAHIM

DEMONSTRASI KEBAKARAN DARIPADA PIHAK BOMBA

DEMONSTRASI PENGGUNAAN ALAT PEMADAM API

MURID-MURID BERPELUANG MELIHAT PERKAKASAN JENTERA BOMBA

LAPORAN AKTIVITI SEKOLAH

LAPORAN PROGRAM ADIK@LPPKN : SAYANGI DIRI

TARIKH
08 Februari 2012
HARI
Rabu
MASA
2.30 – 5.00 petang
SASARAN
20 orang murid Tahun 6
TEMPAT
Makmal Komputer, SK Gopeng, Tmn Gopeng Baru

Satu program anjuran Unit Bimbingan dan Kaunseling SK Gopeng, Taman Gopeng Baru dengan kerjasama LPPKN ( Lembaga Pembangunan dan Perancangan keluarga Negara ) telah diadakan seperti ketententuan di atas.
Program ini telah bermula di makmal komputer pada pukul 2.30 petang selesai murid-murid bersolat dan makan tengah hari.Program ini telah dikendalikan oleh Puan Farisha binti Jamiluddin salah seorang kaki tangan LPPKN cawangan Kampar. Beliau telah menyampaikan satu taklimat berkenaan perkembangan diri murid yang dipilih iaitu murid-murid perempuan Tahun 6 seramai 20 orang.
Taklimat beliau dimulakan dengan topik : Manisnya Menjadi Remaja. Beliau memberikan info yang berguna berkaitan perkembangan remaja. Selain itu, beliau juga menasihati agar murid-murid berhati-hati melayari internet agar tidak sewenang-wenangnya terdedah dengan perkara-perkara yang tidak bermoral. Antara topic-topik yang dikongsi bersama ialah :
i)   Penderaan seksual
ii)  Pornografi
iii) Pengertian Rogol (rape)
iv) Jenis-jenis rogol – rogol tahanan, rogol geng, rogol kenalan ( teman lelaki)
v)  Undang-undang dan penguatkuasaan – umur bawah 16 tahun adalah satu kesalahan 
     sama ada rela atau secara paksa.
Segmen kedua pula, Puan Farisha telah berkongsi maklumat berkaitan tajuk : Kenali Emosi dan Fizikalku. Pengertian emosi adalah sesuatu yang melibtakan perasaan  sementara fizikal bermaksud perubahan bentuk badan atau tubuh badan.
            Wakil murid diminta melakarkan tubuh badan dan melabelkan bahagian-bahagian yang sensitive serta perlu dijaga daripada sentuhan orang lain.Murid-murid juga diingatkan tentang batas-batas pergaulan walaupun sesame ahli keluarga seperti ayah dan abang serta orang yang dikenali seperti jiran, guru dan pengawal keselamtan. Murid-murid juga ditunjukkan contoh-contoh artikel surat khabar berkaitan kes rogol, culik, cabul dan bunuh yang melibatkan kanak-kanak dan remaja.
            Program diakhiri dengan beberapa peringatan antaranya jika berlaku perkara yang tidak diingini tanpa rela, murid-murid diingatkan agar berkongsi masalah dan tidak merasakan diri mereka adalah bersalah. Program ditamatkan jam 5.00 petang.

Laporan disediakan oleh,

(NOR FAZILA BINTI YAHYUDDIN)
Guru Bimbingan dan Kaunseling
SK Gopeng, Tmn. Gopeng Baru.                                                            

PUAN FARISHA SEDANG MELAYAN PERTANYAAN MURID-MURID

MURID-MURID SEDANG BERBINCANG DALAM KUMPULAN

WAKIL MURID SEDANG MELAKAR BENTUK FIZIKAL SEORANG REMAJA PEREMPUAN

UNIT BIMBINGAN DAN KAUNSELING

LANGKAH-LANGKAH BIJAK MENJELANG PEPERIKSAAN

1. Bertenang dan melapangkan fikiran.
2. Melakukan ulang kaji bagi topik-topik yang penting.
3. Tidur yang mencukupi..
4. Menjaga kesihatan diri.
5. Menjaga pemakanan dengan memakan makanan yang berkhasiat dan berzat.
7. Bagi pelajar Islam, perbanyakkan sembahyang hajat .
8. Membuat dan membaca nota-nota ringkas.
9. Mengadakan senaman kesihatan fizikal untuk mengeluarkan peluh.
10. Beriadah dan berekreasi di tempat-tempat yang sesuai kerana badan yang
      cergas akan meransang kecerdasan otak.
11. Meminta doa dan restu ibu bapa dan guru-guru.
12. Belajar pada waktu yang difikirkan sesuai.
13. Mengkaji bentuk-bentuk soalan peperiksaan dengan bantuan guru dan
      rakan-rakan.
14. Menjawab soalan yang sama seperti format peperiksaan sebenar.
15. Datang lebih awal ke dewan peperiksaan sebelum peperiksaan bermula.
16. Menyediakan segala kelengkapan peperiksaan yang diperlukan.
17. Bersarapan sebelum masuk ke dewan peperiksaan dengan sarapan yang
      berzat supaya tenaga fizikal dan minda cukup untuk menghadapi peperiksaan.
18. Elakkan mengadakan perbincangan tentang topik-topik hangat atau kaedah
      menjawab sebelum dan selepas peperiksaan.
19. Mematuhi arahan peperiksaan yang telah ditetapkan.
20. Membaca dengan teliti setiap arahan yang terdapat pada setiap kertas soalan.
21. Menjawab soalan berpandukan soalan yang telah dipilih.
22. Pastikan pelajar menjawab semua soalan yang dikemukakan mengikut arahan yang dinyatakan.


Tuesday 21 February 2012

AKTIVITI SEKOLAH

MESYUARAT AGUNG PERSATUAN IBU BAPA DAN GURU (PIBG) KALI KE-34
TAHUN 2012

TARIKH :
25 Februari 2012 / 3 Rabiul Akhir 1433H

TEMPAT :
Dewan Tertutup 
SK Gopeng, Tmn. Gopeng Baru

MASA :
11.30 pagi

DIRASMIKAN OLEH :
Datuk Hamzah Bin Kassim (DSSM, PMP)
Ketua UMNO Bahagian Gopeng
(Parlimen Gopeng)

ATURCARA MAJLIS
 11.30 pagi :
  • Ucapan Pengerusi Majlis.
  • Bacaan doa oleh Ustaz Khatib.
  • Ucapan alu-aluan Penasihat PIBG oleh Pn. Hjh. Salmiah Rahmatul Laila Binti V. Shaik Dawood (Guru Besar SK Gopeng, Tmn. Gopeng Baru).
  • Ucapan Yang Dipertua PIBG oleh En. Azmi Bin Kadir.
  • Ucapan perasmian oleh Datuk Hamzah Bin Kassim (DSSM, PMP), Ketua UMNO Bahagian Gopeng (Parlimen Gopeng).
  • Membentang dan menerima Minit Mesyuarat Agung PIBG Kali Ke-33.
  • Perkara berbangkit.
  • Membentang dan menerima laporan Aktiviti Sekolah bersama PIBG 2011.
  • Perlantikan Yang Dipertua, Naib Yang Dipertua dan Ahli Jawatankuasa PIBG 2012.
  • Hal-hal lain.
  • Ucapan penangguhan. 
 *Semua ibu bapa dan guru dijemput hadir

GURU BERTUGAS

GURU BERTUGAS MINGGUAN

TARIKH
27 Februari-2 Mac 2012

GURU BERTUGAS
Pn. Hjh. Asiyah
Pn. Zuraina
En. Nor Sahizal

PENOLONG KANAN BERTUGAS
En. Zamhuri Bin Tasir
(Penolong Kanan Hal HEM)

TAJUK UCAPAN PERHIMPUNAN
"Mencegah Denggi"


MUTIARA KATA

"Orang yang bahagia itu akan selalu menyediakan waktu untuk membaca kerana membaca itu sumber hikmah menyediakan waktu tertawa kerana tertawa itu muziknya jiwa, menyediakan waktu untuk berfikir kerana berfikir itu pokok kemajuan, menyediakan waktu untuk beramal kerana beramal itu pangkal kejayaan, menyediakan waktu untuk bersenda kerana bersenda itu akan membuat muda selalu dan menyediakan waktu beribadat kerana beribadat itu adalah ibu dari segala ketenangan jiwa.."

Wednesday 15 February 2012

GURU BERTUGAS

GURU BERTUGAS MINGGUAN

TARIKH
20 Februari-24 Februari 2012

GURU BERTUGAS
Pn. Nor Azilah
Pn. Haniza
En. Ahmad Juahir

PENOLONG KANAN BERTUGAS
En. Mohayaddin Bin Tasripin
(Penolong Kanan Pendidikan Khas)

TAJUK UCAPAN PERHIMPUNAN
"Tumpuan 100% ketika belajar"



Tuesday 14 February 2012

MUTIARA KATA

"Tubuh kita perlu dipelihara kerana tubuh ini cengkerang kehidupan dan terdapat jiwa yang berada didalamnya, seperti kerang yang mengandungi mutiara yang sedang tumbuh, tanpa kerang tidak ada mutiara.."


Thursday 9 February 2012

GURU BERTUGAS

GURU BERTUGAS MINGGUAN

TARIKH
13 Februari-17 Februari 2012

GURU BERTUGAS
Pn. Rosimah
Cik Nor Azura
En. Azrol Hakimi

PENOLONG KANAN BERTUGAS
En. Mohd. Yusniza Bin Mohd. Redzuan
(Penolong Kanan Kokurikulum)

TAJUK UCAPAN PERHIMPUNAN
"Bersukan untuk kesihatan"


Wednesday 8 February 2012

MUTIARA KATA

"Perkataan yang lemah lembut itu melembutkan hati yang lebih keras dari batu batu dan perkataan yang kasar akan mengasarkan hati yang lebih halus dari sutera.."

LAPORAN AKTIVITI SEKOLAH

LAPORAN SAMBUTAN MAULIDUL RASUL 2012
PERINGKAT SEKOLAH  

TARIKH  : (Rabu) 8 Februari 2012
MASA    : 8.00 Pagi
TEMPAT : Dewan Terbuka SK Gopeng Tmn. Gopeng Baru

Sambutan Maulidur Rasul peringkat sekolah telah diadakan pada 8 Februari 2012 bertempat di Dewan Terbuka SKGTGB. Sambutan pada tahun ini dianjurkan oleh Panitia Pendidikan Islam dan Dakwah SKGTGB. Murid-murid telah berkumpul di dewan dan berbaris mengikut persatuan masing-masing seawal jam 7.25 pagi. Antara persatuan yang melibatkan diri dalam sambutan pada kali ini ialah Persatuan Pendidikan Khas, Persatuan Sains dan Matematik, Persatuan Pusat Sumber Sekolah, Persatuan Bahasa Melayu, Persatuan Bahasa Inggeris dan Persatuan Muzik dan Kebudayaan. Majlis dimulakan dengan bacaan doa yang telah diketuai oleh Ustaz Mohd Shah Rizal Bin Zainuddin. Kemudian majlis diteruskan kata alu-aluan oleh pengerusi majlis oleh Ustaz Ahmad Juahir Bin Naim. Seterusnya, Pn. Hjh. Salmiah Rahmatul Laila Binti V. Shaik Dawood, Guru Besar SK Gopeng Tmn. Gopeng Baru telah sudi menyampaikan ucapannya bersempena Sambutan Maulidul Rasul Peringkat Sekolah. Di dalam ucapannya, beliau berharap sambutan yang diadakan ini dapat menyemai rasa cintakan Rasul dalam kalangan umat Islam dan seterusnya dapat memberi kesedaran tentang tanggungjawab kita meneruskan perjuangan Rasulullah dalam menyebarkan ajaran Islam. Kemudian murid-murid berselawat dan berarak mengikut persatuan masing-masing dengan membawa sepanduk. Perarakan dirasmikan oleh Guru Besar SKGTGB. Pihak polis Gopeng juga telah turut serta melicinkan perjalanan program pada kali ini dengan membantu mengawal keselamatan murid-murid. Semua guru dan murid berarak dan berselawat di sepanjang Kg. Pulai, Gopeng. Pertandingan sepanduk dan perarakan telah diadili oleh Ustaz Ahmad Juahir, Ustazah Nora’sikien, En. Azrol Hakimi dan Pn. Fadzillah Binti Yahyuddin. Murid Tahap Satu pula tidak turut serta berarak tetapi mereka terlibat di dalam Pertandingan Mewarna Maulidul Rasul di Dewan Terbuka. Menurut Ustaz Ahmad Juahir, Penyelaras Sambutan Maulidul Rasul Peringkat Sekolah pada kali ini, beliau amat gembira dan berbesar hati dengan sambutan dan penglibatan yang menggalakkan dari semua warga sekolah terutamanya dalam Pertandingan Membuat Kain Rentang Maulidul Rasul. Semua guru dan murid bertungkus lumus menyiapkan kain rentang seawal seminggu sebelum sambutan. Murid-murid juga kelihatan amat ceria dan segak bergaya mengenakan pakaian Melayu. Aktiviti tamat kira-kira jam 9.30 pagi dan semua guru dan murid disediakan jamuan ringan di kantin sekolah. Secara keseluruhan, aktiviti pada kali ini telah dapat dilaksanakan dengan jayanya dengan sokongan yang jitu daripada semua warga SKGTGB. Syabas dan tahniah diucapkan!

UCAPAN PERASMIAN OLEH PN. HJH. SALMIAH RAHMATUL LAILA BINTI V. SHAIK DAWOOD
GURU BESAR SK GOPENG, TMN. GOPENG BARU 

 GURU DAN MURID BERSEDIA UNTUK MEMULAKAN PERARAKAN DAN SELAWAT

 PERARAKAN DAN SELAWAT DI SEKITAR KG. PULAI, GOPENG

 PERTANDINGAN MEWARNA SAMBUTAN MAULIDUL RASUL PERINGKAT SEKOLAH 


AKTIVITI SEKOLAH

MAJLIS SAMBUTAN MAULIDUL RASUL
PERINGKAT SEKOLAH
1433H / 2012M

Tarikh :
15 Rabiul Awal 1433H / 8 Februari 2012

Hari :
Rabu

Masa :
7.30 pagi

Tempat :
Dewan Terbuka SKGTGB

*Semua warga SKGTGB dijemput hadir

Wednesday 1 February 2012

GURU BERTUGAS

GURU BERTUGAS MINGGUAN

TARIKH
8 Februari-10 Februari 2012

GURU BERTUGAS
Pn.Raudah
Pn. Salasiah
Pn. Syarifah Norazizah

PENOLONG KANAN BERTUGAS
En. Zinal Ariffin Bin Md. Raslan
(Penolong Kanan Pentadbiran)

TAJUK UCAPAN PERHIMPUNAN
"Jauhi Dadah"

MAULIDUR RASUL 1433H/2012M


12 Rabiulawal 1433H bersamaan 5 Februari 2012 bakal menjelang tiba.. Alhamdulillah, kita bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu wa Ta'ala kerana dengan limpah kurnia-Nya dapat kita meraikan sambutan Maulidur Rasul pada tahun ini. Selawat dan salam kepada junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w., penghulu segala Rasul, pembawa rahmat seluruh alam.

Setiap tahun kita mengadakan majlis memperingati kelahiran Nabi Muhammad s.a.w. Ini adalah sebagai kenyataan akan kasih dan sanjungan kita terhadap Baginda serta perjuangan dan pengorbanan Baginda. Perjuangan Baginda tidak berhenti dengan wafatnya Baginda. Sebaliknya ia diteruskan oleh penganut agama Islam sehingga agama yang mulia ini dianuti oleh lebih satu bilion manusia di seluruh dunia sekarang ini. Dengan mengingati dan menyambut Maulidur Rasul, umat Islam sebenarnya memperbaharui azam untuk mengembangkan lagi agama yang diwahyukan oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala kepada Nabi Muhammad s.a.w.

Justeru, warga SK Gopeng Tmn. Gopeng Baru (SKGTGB) juga tidak ketinggalan untuk bersama-sama meraikan sambutan Maulidur Rasul pada tahun ini. Pelbagai program dan aktiviti telah dirancang sejak dari awal lagi. Antara aktiviti yang bakal dijalankan ialah Pertandingan Membuat Kain Rentang Maulidur Rasul, Pertandingan Mewarna, Ceramah Maulidur Rasul dan Perarakan Maulidur Rasul Bersama Warga SKGTGB. Adalah diharapkan aktiviti-aktiviti seperti ini dapat memeriahkan lagi sambutan Maulidur Rasul dan dapat menyemai rasa cintakan Rasul dalam kalangan warga SKGTGB.

Akhir kata daripada admin, marilah kita gunakan kesempatan untuk menyambut Maulidur Rasul ini dengan melipatgandakan usaha dan ikhtiar agar segala permasalahan dapat diselesaikan. Tanggungjawab kita bersama ialah untuk berdoa dan menghindarkan diri kita daripada sikap-sikap negatif seperti tamak haloba, rasuah, pecah amanah, hilang sabar dan sebagainya. Apa yang lebih penting adalah kita menggunakan peluang yang ada untuk terus mempertingkatkan daya kreativiti kita untuk memajukan agama, bangsa dan negara kita.

MAKLUMAN PENTING!
* Sekolah akan bercuti pada tarikh berikut :
  
(Isnin) 6 Februari 2012 - Cuti Sempena Sambutan Maulidur Rasul
(Selasa) 7 Februari 2012 - Cuti Thaipusam